‘Back to School’ gembirakan murid miskin

PADANG RENGAS: Seramai 30 murid dari Parlimen Padang Rengas menerima bantuan persekolahan dalam program ‘Back to School’ yang diadakan di Pasaraya Sakan Kuala Kangsar, di sini kelmarin. 

Advertisement

Sepanjang program berjalan, peserta telah dibantu oleh para sukarelawan membeli pakaian dan peralatan sekolah sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan 2020 tidak lama lagi.

Yang Dipertua PAS Padang Rengas, Syukri Mat Amin dalam ucapannya berharap para penerima sumbangan dapat kembali ke sekolah dengan rasa gembira.

Beliau turut mengingatkan supaya para penerima agar berusaha untuk berjaya di dalam pelajaran.

Menurut beliau lagi, sebenarnya program seumpama ini merupakan peluang kepada masyarakat untuk sama-sama menyumbang bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Padang Rengas, Husna Saidon dalam ucapannya turut menyuntik semangat kepada para penerima agar belajar bersungguh-sungguh dan menyumbang bakti kepada ummah walau di mana sahaja mereka berada.

Seorang peserta program, Syahirah Yoep, melahirkan rasa sangat gembira dengan program ini kerana ia dapat meringankan beban ibu dan bapanya yang sedang sakit.

Turut hadir Naib Yang Dipertua PAS Padang Rengas, Ustaz Azizi Ridzwan merangkap Ketua Lajnah Kebajikan PAS Padang Rengas dan Ketua Ameerah Padang Rengas, Fatimah Hud merangkap Pengarah Program. – HARAKAHDAILY 17/12/2019