Kempen Jom Klik HarakahDaily

PADA 1987, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah mengambil inisiatif untuk terjun di dalam dunia kewartawanan bagi menyampaikan risalah berlandaskan fakta yang benar selari dengan peredaran zaman bagi membina minda rakyat ke arah memartabatkan Islam melalui akhbar Harakah.

Selepas 10 tahun, portal atas talian HarakahDaily pula dilancarkan pada 1997 seiring dengan kepesatan teknologi maklumat dan perkembangan internet yang begitu pantas di Malaysia dan bertahan selama tiga dekad sehingga kini.

Dengan moto ‘Benar & Inklusif’, HarakahDaily menyalurkan maklumat terkini, menyatakan pandangan dan pendirian khususnya kepada ahli PAS serta masyarakat umum. Ia sekali gus menepis dakwaan berita palsu dan fitnah yang semakin kronik dalam masyarakat. 

Portal ini amat menekankan aspek kredibiliti dalam penyampaian maklumat agar sesuai dengan semua lapisan masyarakat sejajar dengan perkembangan media sosial di samping tidak mengenepikan soal fasa penambahbaikan maklumat dalam dan luar negara untuk menghasilkan berita yang bermutu tinggi.

Tarikh 5 November 2019 menyaksikan portal HarakahDaily versi baru telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dengan paparan moden setanding portal antarabangsa.

Ia berkonsepkan analisis berita nasional dan politik negara. Dalam masa yang sama masih mengekalkan laporan berita terkini sepanjang hari daripada sumber berita tempatan. Antara penambahan segmen sukan dalam dan luar negara yang informatif. Maklumat aktiviti pergerakan PAS di seluruh Malaysia juga tidak sekali ditingggalkan. 

Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia menyokong penuh portal HarakahDaily supaya ia terus maju berkembang menyampaikan liputan berita benar, tepat dan autentik bukan sahaja untuk tanah air ini bahkan ke seluruh pelosok dunia.

‘Benar & Inklusif’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Pegawai Eksekutif Harakah
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
17 Disember 2019 | 20 RabiulAkhir 1441H – HARAKAHDAILY 17/12/2019

Advertisement