Kes tetanus: Mimpi ngeri antivaksin

SEORANG kanak kanak berusia enam tahun yang tidak pernah divaksinkan mengalami kecederaan ringan di dahinya semasa sesang bermain di kebun keluarganya.Luka tersebut dicuci dan dijahit di rumah.

Advertisement

Enam hari kemudian, mangsa mula mengadu rahangnya menjadi ketat. Otot-otot tubuh mula mengejang, belakang tubuh dan tengkuk mula melengkung. Tidak lama kemudian, kanak-kanak tersebut mula alami kesukaran untuk bernafas.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa telah dijangkiti dengan kuman tetanus. Alat bantuan pernafasan telah digunakan dan suntikan tetanus immune globulin dan vaksin DTaP telah diberikan sebagai usaha untuk merawat mangsa.

Pada saat kritikal ini, ibu bapa mangsa terpaksa bersetuju untuk memberikan vaksin untuk menyelamatkan nyawa anak mereka.

Di dalam ICU, mangsa telah ditempatkan di sebuah bilik khas yang gelap, telinganya disumbat dan segala bentuk rangsangan cuba dikurangkan. Ini adalah kerana, rangsangan yang berlebihan akan menyebabkan tubuh mangsa menjadi kejang dan alami kesakitan akibat otot-otot yang mengeras.

Mangsa dirawat di hospital selama 57 hari termasuk 47 hari di ICU dengan kos rawatan yang mencecah USD800,000.

Setelah kanak-kanak ini semakin sembuh dengan proses terapi dan rawatan susulan, nasihat dan cadangan telah diberikan kepada ibu bapa mangsa untuk melengkapkan vaksinasi termasuk mengambil dos susulan vaksin tetanus.

Malangnya, ibu bapa mangsa tetap dengan pendirian untuk menolak vaksin. Walau anak telah di ambang kematian, ia masih tidak memberikan pengajaran kepada ibu bapa.

Sesungguhnya, anti vaksin tegar begini memang wujud dan sukar untuk ditangani. WHO sendiri telah menyenaraikan antivaksin sebagai antara ancaman utama kesihatan di seluruh dunia.

Hari ini kita boleh lihat, semakin banyak kes penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin ini muncul, semakin rancak antivaksin menyebarkan agenda mereka. Adakah kita masih boleh berdiam diri dan terus melihat ‘wabak’ ciptaan ini terus berleluasa?

Guzman-Cottrill JA, Lancioni C, Eriksson C, Cho Y, Liko J. Notes from the Field: Tetanus in an Unvaccinated Child — Oregon, 2017. MMWR Morb Mortal Wkly Rep 2019;68:231–232. – HARAKAHDAILY 17/12/2019