PAS Tambun giat tambah Cawangan baharu

TAMBUN: Perkembangan terkini PAS Kawasan Tambun melalui strategi gerak kerja melibatkan enam zon yang diwujudkan telah memberi impak yang sangat positif dengan pelbagai program berjaya dilaksanakan bersama masyarakat umum.

Advertisement

“Tanggungjawab yang dimainkan oleh kepimpinan dan ahli PAS kepada masyarakat selama ini membuktikan gerak kerja dakwah yang dilaksanakan secara berterusan pasti membuahkan hasilnya.

“Oleh sebab itu, kita tidak bekerja hanya lima tahun sekali kerana pilihan raya, tetapi tugas kita memperjuang Islam adalah berpanjangan dan ianya dituntut oleh Allah S.W.T,” ujar Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said.

Beliau yang menyambut ulangtahun kelahirannnya yang ke-48 semalam, turut berpesan agar setiap orang mesti memenuhi tanggungjawab sebagai ahli jemaah dengan menghadiri program-program pengukuhan dalaman.

Khususnya pesan beliau, melibatkan aktiviti tarbiyah antaranya usrah, ijtimak, kuliah tafaqquh fiddin dan seumpamanya yang diperingat beliau semasa pertemuan penubuhan PAS Cawangan Penaja Meru Perdana, di sini.

Dalam pertemuan tersebut, ahli PAS yang hadir bersetuju memilih Ketua Penaja PAS Cawangan, Mohd Helmi Harun, seorang ahli perniagaan yang juga mantan calon PAS Parlimen Nibong Tebal, serta pesara Tentera Laut Diraja Malaysia, Arman Ahmad sebagai Setiausaha Penaja PAS Cawangan Meru Perdana.

Cawangan tersebut adalah cawangan baharu yang ke sembilan ditubuhkan secara rasminya dalam Tambun melibatkan penempatan Taman Meru Perdana, Taman Meru Perdana 2 dan Taman Meru Suria dihadiri 30 orang ahli sedia ada dan baharu.

Sementara itu, Ketua Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin turut memaklumkan bahawa, pada penghujung bulan Disember bakal ditubuhkan sebuah lagi cawangan baharu dalam Zon Meru melibatkan penempatan Meru Damai dan D’Aman Residensi, Meru Raya.

Turut hadir dalam majlis yang berlangsung penuh harmoni, Setiausaha, Syed Mohd Noor Hisham Syed Hassan dan Bendahari, Ramli Bilan serta Ketua Ulamak PAS Tambun, Ustaz Rusdi Saad dan pimpinan PAS Kawasan dan Dewan-dewan. – HARAKAHDAILY 17/12/2019