PAS Tambun istiqamah laksana program kebajikan

TAMBUN: Seramai 79 pelajar dalam kalangan keluarga kelompok B40 di Zon Meru menerima bantuan awal persekolahan berupa beg dan kasut sekolah menerusi program ‘Back to School’ PAS Kawasan Tambun, di sini semalam.

Advertisement

Naib Yang Dipertua PAS Tambun, Aidil Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, tujuan program ini diadakan adalah bagi meringanan beban kewangan ibu bapa menyediakan peralatan asas sekolah.

“Program ‘Back to School’ ini adalah program wajib tahunan PAS Tambun dan ianya bertujuan (bagi) meringankan beban (kewangan) ibu bapa yang ingin memastikan anak mereka bersekolah (dengan selesa) pada tahun akan datang,” ujarnya.

Turut hadir pada sesi penyampaian bantuan ini ialah Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabaidi Zainal Abidin dan wakil Muslimat PAS Tambun, Umi Kalsom Salleh serta Naib Ketua Pemuda PAS Tambun, Saiful Nizam Ismail.

Bukan itu sahaja, program sama juga turut berlangsung di Pasar Raya Mydin Meru yang diusahakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Zon Klebang diketuai oleh Ustaz Rosli Azizan.

Menurut Ustaz Rosli, bantuan kepada 122 penerima bantuan awal persekolahan ini merupakan hasil kolaborasi enam PAS Cawangan di dalam Zon Klebang yang telah berjaya mengumpul RM9,000 bagi menjayakan program ini.

“Program ini bukan sahaja dapat membantu keluarga yang kurang berpendapatan, malah ia juga berupaya meningkatkan komitmen ahli PAS terutamanya untuk ahli PAS di peringkat Cawangan mengumpul dana,” terangnya yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Tambun.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Mohd Hafez Sabri selaku perasmi program itu di dalam ucapannya menyatakan bahawa PAS merupakan parti yang terkehadapan dalam membela nasib rakyat biarpun sekian lama bergelar pembangkang.

“PAS tidak terlepas untuk terus membantu masyarakat dan sentiasa bersama dalam denyut nadi rakyat dengan menggerakkan program-program kebajikan tanpa mengira musim.

“Inilah sikap yang ditarbiyah oleh ahli PAS yang membolehkan program-program kebajikan untuk rakyat ini terus menerus berlangsung. Oleh hal yang sedemikian, kiriman doa hadirin-hadirat amat diperlukan agar ahli PAS terus istiqamah membantu rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/12/2019