Pelabuhan Labuan mesti kekal dikendali anak tempatan

LABUAN: PAS Labuan menyifatkan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) yang dipengerusikan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Chan Foong Hin sebagai tidak sensitif kepada kepentingan Labuan. 

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Labuan, Hamir Zahari berkata, LPA seharusnya bertindak membantu operator tempatan yang mengendalikan pelabuhan dermaga Labuan (Labuan Liberty Wharf) bukan membenarkan diambil alih oleh operator luar.

“LLPM adalah syarikat tempatan yang telah mengendalikan pelabuhan Labuan sejak tahun 1998 dengan tiada bantuan geran keran kerajaan, dan apabila LPA ditubuhkan, begitu mudah untuk Lembaga itu menyingkirkan LLPM yang telah banyak memberikan sumbangan kepada ekonomi Labuan.

“Sekiranya LLPM disingkirkan dari pengurusan pelabuhan dermaga, apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan oleh warga Labuan dalam aktiviti perniagaan di Labuan ini? Adakah pemerintahan PH lebih mementingkan operator luar untuk menguasai aktiviti perniagaan yang telah dipelopori usahawan tempatan?” soalnya.

Hamir berkata, LLPM telah memulakan pengurusan pelabuhan dermaga dengan modal sendiri berjumlah jutaan ringgit melalui pembelian aset-aset dan pembukaan kontena depo di luar pelabuhan dermaga bagi mengurangkan kesesakan di kontena yad sedia ada.

“Selama ini LLPM mengurus pelabuhan dengan tidak diberikan tempoh yang panjang oleh kerajaan dan sejak dua tahun lepas beroperasi dari bulan ke bulan. Namun LLPM masih berupaya membuktikan pengurusan pelabuhan berjalan lancar.

“Seharusnya LLPM diberikan satu tempoh yang munasabah bagi membolehkannya melaksanakan pelan pembangunan infrastruktur di pelabuhan dermaga itu, bukan dari bulan ke bulan. LLPM seharusnya diberi peluang untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan dalam tempoh tertentu bukan secara terus dibiarkan tersingkir dari pengurusan pelabuhan dermaga.

Penyingkiran LLPM tanpa mempertimbangkan LLPM hanya satu-satunya usahawan Labuan yang terlibat dalam industri pelabuhan yang mereka ini boleh dibantu untuk setanding dengan operator pelabuhan di negara ini, boleh disangsi transparensinya,” katanya.

Tegas beliau, sepatutnya jika pengusaha tempatan ada kekurangan, maka pihak kerajaan wajib membantu dan melengkapkan ‘capability dan competency’, bukan menyingkirkan.

Bidasnya, jika keputusan yang akan dibuat oleh pihak Kementerian Pengangkutan membelakangkan kepentingan pengusaha tempatan, maknanya mereka sengaja memusnahkan peluang kemakmuran ekonomi Labuan daripada dinikmati oleh anak watan. – HARAKAHDAILY 17/12/2019