Islam di persimpangan kejahilan umat dan kelemahan ulama

(Sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019)

Advertisement

ISLAM adalah kurniaan Allah yang tidak terhingga, tiada bandingan dan tandingannya menjadi hidayah (petunjuk) yang sempurna, adil dan rahmat kepada seluruh manusia dan alam. Dalam semua urusan dunia, Islam menjadi jambatan ke akhirat yang berkekalan.

Kesempurnaan Islam merangkumi seluruh ciri kejadian manusia dan hikmah mereka diciptakan. Bukan sahaja urusan ibadah dan hubungannya dengan Allah yang Maha Esa, bahkan kehidupan dunia yang berakhlak dan wawasan akhirat yang selamat.

Al-Quran adalah kurniaan Allah yang memberi hidayah sempurna dalam semua perkara kepada manusia, sama ada hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa, hubungan dengan makhluk lain di bumi dan segala isinya, sehinggalah ke langit angkasa lepas. Termasuk juga hubungan dengan alam nyata dan alam ghaib yang diketahui dengan petunjuk Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, sehingga luas lapangannya merentasi sempadan negara dan bangsa. Panjang dan jauh wawasannya sehingga ke alam akhirat yang kekal abadi.

Firman Allah:

﴿وَيَوۡمَ نَبۡعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٖ شَهِيدًا عَلَيۡهِم مِّنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَجِئۡنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِۚ وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ٨٩﴾

“(Dan ingatlah) pada Hari (Kiamat), Kami bangkitkan daripada kalangan setiap umat seorang saksi (Rasul) terhadap mereka. Dan Kami (Allah) juga membawamu (wahai Muhammad) menjadi saksi terhadap mereka semua. Dan Kami (Allah) telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) menerangkan setiap sesuatu (dalam semua perkara) menjadi petunjuk, rahmat dan berita gembira kepada orang-orang yang menyerah diri kepada Allah (menganut Islam)”. (Surah An-Nahl: 89)

Rasulullah S.A.W. telah menunjukkan kepada generasi awal cara beramal dengan Al-Quran dalam semua perkara. Bermula di peringkat Makkah sebelum berkuasa memerintah negara dan di peringkat Madinah setelah berkuasa memerintah negara bermasyarakat madani dan majmuk.

Nabi Muhammad S.A.W. menukar nama tempat hijrah daripada Yathrib kepada Madinah, menunjukkan cara melaksanakan petunjuk Al-Quran sama ada dalam perkara nas yang nyata tidak berubah, seperti rukun akidah, syariat dan akhlak, atau perkara rukun kehidupan manusia yang wajib dan tidak wajib, halal dan haram dengan terperinci termasuk masalah kehidupan yang mengalami perubahan, atau perkara dasar, konsep umum dan kemampuan manusia yang tidak perlu ada nas dalam urusan dunia yang berubah mengikut situasi dan realiti masyarakat mengikut keadaan negeri dan masa yang berlainan.

Pelaksanaan ini berjaya sehingga Islam mampu mencipta tamadunnya sendiri yang disebut Hadharah Islamiyah dengan konsep keterbukaan ilmu dan mengambil manfaat daripada tamadun luar pada zamannya dan zaman terdahulu dengan mengekalkan yang baik dan membetulkan yang salah.

Kandungan Piagam Madinah (623M) yang dimeteraikan oleh Rasulullah S.A.W. bersama masyarakat Madinah yang majmuk, mendahului lebih seribu tahun daripada Revolusi Perancis (1789-1790) yang menjadi kebanggaan Barat dengan perisytiharan selepasnya pada tahun 1848 dengan membawa slogan kebebasan, persamaan dan persaudaraan serta melahirkan konsep demokrasi moden barat dalam aspek politik yang melibatkan rakyat bersama pemimpin.

Adapun Islam melaksanakan slogan tersebut dengan lebih lengkap dan berpijak di alam nyata. Contohnya, konsep syura (permesyuaratan) yang melibatkan semua lapisan rakyat mendahului demokrasi moden barat, bahkan Islam mempunyai nilai tambah kerana hubungannya dengan petunjuk akidah, syariat dan akhlak yang berwawasan akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala.

Dalam aspek ekonomi, barat mencipta ideologi liberal kapitalisme, sosialisme dan komunisme, kemudiannya pragmatisme yang bertarungan tanpa penyelesaian sampai kini, dengan ciri-ciri materialisme menjadi kiblat atau matlamat kepada semuanya, sehingga tidak peduli kepada peranan naluri manusia (fitrah) bercirikan kepentingan diri masing-masing dan wajib hidup bermasyarakat yang mewajibkan kesaksamaan yang perlu dikawal oleh akal dan roh.

Kini telah disaksikan keruntuhan komunisme dan sosialisme, serta sedang muncul tanda-tanda merudum liberal kapitalisme.

Berbeza dengan konsep ekonomi Islam dalam lapangan muamalat, zakat, cukai (jizyah, kharaj, ‘usyur dan lain-lain) dan waqaf yang bercirikan ibadah dan lain-lain, kerana pernah berjaya mengatasi masalah kemiskinan dengan konsep keadilan sosial yang meletakkan prinsip tidak melampau dalam kebebasan individu seperti teori liberal kapitalisme dan tidak melampau di atas nama kepentingan dan keadilan masyarakat sehingga menghapuskan kebebasan individu, sama ada yang paling ekstrem seperti komunisme dan saudara kembarnya sosialisme yang dikatakan tidak ekstrem, tetapi semuanya tanpa roh yang mengawal akal, kerana berkonsepkan sekularisme dan tidak saksama di antara kepentingan diri dan masyarakat, roh dan jasad.

Bahkan kemajuan sains dan teknologi umat Islam dalam segenap lapangan ilmu pengetahuan mendahului Eropah beberapa abad lamanya yang berada di zaman kegelapan. Kemajuan di zaman keemasan tamadun Islam dalam sains dan teknologi pada abad ke-14 dan ke-15 memberi banyak manfaat kepada seluruh dunia.

Namun Revolusi Industri yang berlaku di Eropah pada abad ke-18, diikuti dengan era penjajahan dan perhambaan sesama manusia, seterusnya kemajuan sains dan teknologi telah mencipta keganasan dan merosakkan alam sekitar.

Islam mampu memerintah negara besar yang maju dan dihormati kerana keadilan pemerintahan dan hukumnya, ekonomi berkebajikan, berakhlak mulia dan kehebatan ketenteraan menentang pencerobohan dan kezaliman tanpa melampau, sehingga wilayahnya merangkumi tiga benua; sebahagian besar Asia daripada Asia Barat, Asia Tengah sehingga Asia Tenggara, dan sebahagian besar Afrika sehingga Selatan Eropah.

Islam membuka minda manusia, bukannya dijajah, kerana rakyatnya menerima kedatangan Islam tanpa memaksa penganut agama lain. Mereka menerima kerajaan Islam dengan rela hati. Ini sangat berbeza dengan zaman penjajahan selepas kejatuhan kuasa Islam memerintah negara.

Barat yang berkuasa di zaman Revolusi Industri selepas kekuasaan Islam adalah hasil daripada tamadun Islam dengan tidak sempurna yang diambil aspek kebendaan sahaja, tanpa menerima agamanya, kerana mereka menganut kehidupan berkonsepkan sekularisme, memisahkan agama daripada urusan negara, sains dan teknologi, walaupun mencapai kemajuan yang pesat, tetapi hilang jati diri manusia.

Peranan agama yang lemah tidak mampu mengawal roh dan akal, menyebabkan krisis moral yang parah, termasuk dalam kalangan paderi dan sami, apatah lagi di kalangan pemimpin dan rakyat yang tidak kuat pegangan agama, kitab suci dipinda dan diubah mengikut kemahuan manusia dan nafsu, sehingga terpesong daripada kitab asal yang dibawa oleh para Rasul A.S.

Akhirnya tamadun barat yang maju tersungkur memusnahkan diri sendiri dan merosakkan kehidupan manusia dan alam sekitar.

Zaman keemasan Islam berlaku beberapa abad sehingga kerajaan Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal memimpin dunia. Selepas itu, kemunduran dialami oleh umat Islam, apabila para pemimpinnya leka dengan kemajuan dan kekayaannya, sehingga meninggalkan ilmu Islam yang berkonsepkan Tafaqquh fi Ad-Din (ilmu dan bijak memahaminya), ajarannya tidak diamalkan dengan sempurna dan urusan ibadah tenggelam dalam perbahasan furu’ (perkara cabang) yang mencetuskan masalah khilafiyah (pertelingkahan).

Dahulunya perbezaan pendapat berlaku tidak memecahkan umat, tetapi menambahkan perkembangan ilmu dalam satu mazhab dan mazhab yang berbeza, tetapi kini mencetuskan perpecahan dalaman umat sendiri.

Majoriti umat Islam sedang mengalami kejahilan agamanya sendiri, dengan hanya tinggal perkara ibadat, undang-undang keluarga dan sedikit perkara akhlak. Sampai ada yang beranggapan urusan dunia tiada kaitan dengan Islam, dan ada juga yang terus berpendidikan barat dan terpengaruh dengan cara hidupnya.

Selain itu, ada di kalangan yang menganut dan berjuang menegakkan pelbagai ideologi dan teori barat ciptaan manusia dalam keadaan masih kuat beribadah, baik dirinya, tetapi sesat pemikirannya. Mereka masih lagi tidak sedar walaupun mengalami kegagalan demi kegagalan yang makin menambahkan masalah dan terus mundur ke belakang dalam segenap lapangan.

Adapun para ulama pada zaman mutakhir tidak bertafaqquh dalam ilmu agama, sehingga dihilangkan kemampuan melakukan kajian berijtihad, khususnya dalam masalah semasa yang tiada pada zaman dahulu. Sehingga masalah ibadah pun, masih tenggelam dalam perbalahan dan perpecahan kerana perkara cabang, bukannya perkara dasar ibadah dan rukun Islam dan Iman, seperti masalah waktu niat, meletakkan tangan ketika solat, masa haid dan nifas dan sebagainya, selain perbalahan dalam perkataan istilah dan berbeza makhraj huruf yang diizinkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W.

Dahulunya para ulama yang berbeza pendapat itu berguru dan belajar sesama mereka dan bersembahyang dalam satu jamaah dan belajar dalam satu majlis ilmu, tetapi kini berpecah mengikut kumpulan dan mendirikan masjid masing-masing sehingga ada yang berperang kerana mazhab di atas nama agama.

Malangnya memusnahkan negara sendiri yang dibina, menghalang kemajuan, bahkan ada di kalangan ulama berada di atas pentas musuh Islam, mungkin kerana jahil masalah semasa terkini atau bersedia menjadi syaitan yang mengejar kemewahan dunia yang disebut oleh firman Allah:

﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧﴾

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah daripada orang-orang yang sesat. (175); Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya; ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya; ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176); Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri”. (177) (Surah Al-A’raaf: 175-177)

Malangnya juga ada yang jahil agama dalam urusan-urusan duniawi semasa, dan terhentinya pengajian ilmu sains dan teknologi bersama petunjuk Al-Quran yang telah dicapai dahulu, kerana cukup dengan kekayaan hasil bumi dan harta jualan tetapi bodoh agama, bodoh mengurus harta dan ketinggalan teknologinya, sehingga berlindung dan bergantung dengan musuh Islam yang memperkudakannya bagi melawan sesama sendiri.

Contoh pada zaman awal, para sahabat dan tabiin mentadbir negara dan bermesyuarat dengan mengemukakan cara yang berlainan, seperti mengurus zakat pada zaman Khalifah Abu Bakar berbeza dengan Khalifah Umar bin Al-Khattab dan Umar bin Abdul Aziz walaupun dengan rukun yang sama, tetapi mengurus dengan cara yang lain, bukan kerana khilaf, tetapi keadaan masyarakat dunia yang berbeza dalam menangani masalah kemiskinan berkonsepkan islah dan tajdid.

Perlu dikaji pandangan berbeza di antara imam-imam mazhab, bahkan dalam satu mazhab yang berlainan huraian di antara mereka, seperti Imam Abu Yusuf daripada Mazhab Hanafi yang kadang-kadang berbeza dengan Abu Hanifah Imam Mazhab Hanafi, Al-Jassas dan Imam Malik. Imam Nawawi, Al-Mawardi, Imam Al-Haramain, Al-Ghazali dan lain-lain berbeza dengan Imam Syafie. Begitulah juga Ibnu Taimiyah dan Imam Ahmad bin Hanbal. Maka perlu dilihat bukan kerana berbeza pendapat, tetapi kerana tajdid dan islah bagi menghadapi zaman dan cabaran yang berbeza, bukannya berkelahi.

Tidakkah Al-Quran itu petunjuk ke arah masa hadapan sehingga akhirat dan perkara dahulu menjadi iktibar?

Ramai yang tidak mengetahui betapa sejarah rumah Ummul Mukminin Khadijah R.A. laksana sebuah bank kerana kepercayaan masyarakat Makkah kepada sifat amanah Rasulullah S.A.W. sejak sebelum menjadi Rasul.

Ramai buta sejarah bahawa umat Islam yang pertama memperkenalkan penggunaan cek pembayaran, mencipta hospital rawatan pesakit dan kemajuan ilmu perubatan sehingga menggunakan candu dan lain-lain untuk bius pembedahan, mencipta kaedah bekalan air bersih dan lain-lain. Sangat malang bagi yang jahil sejarah dan lupa ilmu yang diwarisi oleh generasi awal pada zaman keemasan.

Ramai di kalangan umat Islam tidak tahu bahawa penjajah barat yang datang menakluk tanah air kita, bukan sahaja merompak hasil bumi dan memperhambakan rakyat umat Islam menjadi tawanan dan diperhamba abdikan, tetapi mereka juga mencuri hasil kajian ilmu para ulama Islam dalam segala lapangan ilmu pengetahuan.

Walaupun kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan, tetapi di atas semangat kebangsaan dan kenegerian masing-masing, kita terkurung dalam sempadan negeri dan otak dibelenggu kejahilan agama dan keadaan yang diwujudkan oleh penjajah.

Ramai kalangan umat Islam yang jahil agamanya sendiri dan berlaku kelemahan para ulama memahami cabaran terkini, sehingga tidak berkemampuan membawa Islam yang sempurna menjadi petunjuk dan penyelesaian di sepanjang zaman.

Masalah terkini yang dihadapi oleh umat Islam sebenarnya adalah mereka masih tidur dalam cahaya, dan orang lain pula sedar tetapi dalam kegelapan.

Wahai umat! Bangunlah melihat dalam cahaya yang satu daripada Allah. Semua yang lain daripada Islam adalah kegelapan yang banyak dan menyesatkan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rabiul Akhir 1441 / 18 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 18/12/2019