Maklumat tanpa kredibiliti undang masalah besar

    KOTA BHARU: Negara ini bakal berhadapan dengan masalah besar apabila maklumat yang mengalir dengan deras sekarang bukan dari sumber yang berkredibiliti.

    Advertisement

    Presiden Kelab Wartawan Darulnaim (Kemudi), Azran Fitri Rahim berkata, sekarang rakyat sukar untuk menilai mana yang hak dan batil.

    Katanya, rakyat seharusnya mempunyai nilai tapisan diri yang tinggi bagi menyaring setiap maklumat yang mereka perolehi.

    “Maklumat paling cepat mengalir melalui whatsApp. Undang-undang sedia ada pula tidak dikuatkuasa dengan tepat apatah lagi Akta Anti Berita Palsu dimansuhkan,” katanya di sini.

    Menurutnya juga kawalan kerajaan terhadap media arus perdana telah mengambil alih syarikat konglomerat media, Media Prima Bhd dan secara senyap ‘membunuh’ Utusan Malaysia.

    Beliau yang juga bekas Ketua Biro Utusan Cawangan Kota Bharu berkata, beliau begitu sedih wartawan sekarang ramai kehilangan kerjaya sehingga terpaksa menempuh cabaran yang baharu.

    “Kami sebagai kelab yang kecil akan cuba membantu sedaya yang mampu.

    Pengecilan atau penguncupan industri media memberikan banyak kesan yang tidak disedari.

    “Kesan terhadap pekerja tersebut. Mereka hilang mata pencarian. Dalam kes Media Prima Bhd mereka ada sedikit kelebihan berbanding bekas kakitangan Utusan,” katanya.

    Menurutnya juga kakitangan Utusan diberhentikan secara ‘kejam’ elaun tertunggak berbulan-bulan dan gaji tertunggak dua bulan. – HARAKAHDAILY 18/12/2019