MPKK dilatih jadi ‘First Aider’

KEMAMAN: Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu belajar kemahiran ‘First Aider’ sebagai persediaan berhadapan situasi cemas apabila ada individu lain begitu memerlukan bantuan.

Advertisement

Penghulu Mukim Kertih, Abdul Ghaffar Mohamed berkata, cabaran dan tugas MPKK tidak hanya tertumpu kepada urus tadbir penduduk kampung sahaja, tetapi perlu disertai kemahiran menangani situasi cemas termasuk melibatkan bencana.

“Kami di Pejabat Daerah Kemaman (PDK) dengan kerjasama ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili akan terus mempertingkatkan perkhidmatan MPKK bagi memastikan mereka memiliki ilmu mencukupi sebelum memberi khidmat kepada masyarakat setempat.

“Saya juga berharap dapat melahirkan semangat kesukarelawan dalam diri setiap ahli MPKK,” ujarnya ketika berucap di penutup Bengkel Latihan Tindak Balas Terhadap Kecemasan anjuran PDK dan PETRONAS Pantai Timur, di Kertih, di sini kelmarin.

Tambahnya, bengkel bertujuan melatih ahli MPKK menghadapi kecemasan yang boleh berlaku dan paling penting sekali kesanggupan mereka memberi tindak balas dalam detik kecemasan.

Latihan itu juga sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk mendekati dan merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat di kawasan mereka beroperasi.

Beliau berkata, selain peserta bengkel bertindak sebagai anggota penyelamat, latihan itu turut mengguna pakai khidmat lima ‘pelakon’ yang dipilih khusus sebagai mangsa yang mana situasi kecemasan dirangka benar-benar mencetus motif disasarkan. – HARAKAHDAILY 18/12/2019