Hutang langsung K’jaan Pusat hampiri RM1 trilion

SAYA telah menerima jawapan bertulis dari Menteri Kewangan berhubung soalan yang telah dikemukakan mengenai jumlah terkini hutang negara. Fokus soalan adalah berkaitan dengan hutang langsung sahaja dan tidak termasuk liabiliti lain seperti jaminan kerajaan, hutang 1MDB serta inisiatif kerjasama awam swasta atau inisiatif pembiayaan swasta.

Berdasarkan jawapan Menteri Kewangan tersebut, hutang langsung Kerajaan Persekutuan sehingga akhir bulan Jun 2019 adalah berjumlah RM799.1 bilion (52.7 peratus daripada KDNK). Peningkatan sebanyak RM58.1 bilion berbanding tahun 2018 iaitu RM741 bilion (51.2 peratus daripada KDNK). Jumlah pinjaman kasar keseluruhan sejak 1 Januari 2018 hingga 30 Jun 2019 ialah RM212.9 bilion.

Advertisement



Daripada RM212.9 bilion itu, sejumlah RM54 bilion telah diterbitkan sebelum PRU Ke-14. Saya mengandaikan ia adalah untuk membiayai defisit fiskal pada tahun 2018 (3.7 peratus daripada KDNK). Sebanyak RM77.6 bilion telah diterbitkan selepas 9 Mei 2018 hingga akhir Disember 2018. Ia bertujuan untuk membayar pokok hutang yang telah matang bagi tahun 2018.

Selanjutnya, sejumlah RM81.3 bilion pula diterbitkan sepanjang enam bulan pertama 2019. Mengapa Kerajaan Persekutuan membuat pinjaman sebanyak RM81.3 bilion tersebut? Berikut adalah perincian berdasarkan kepada jawapan yang telah diberikan oleh Menteri Kewangan;

a.    Bayaran Pokok Hutang Matang (Jan ‘19 – Jun ‘19) RM23.2 bilion
b.     Pre-Funding Hutang Akan Matang (Jul ’19 – Dis ’19) RM35.7 bilion
c.     Biaya Defisit Fiskal (Jan ‘19 – Jun ‘19) RM22.4 bilion



Saya mengandaikan Kerajaan Persekutuan akan membuat lagi pinjaman kasar (terbitan hutang) lebih kurang RM29.5 bilion untuk membiayai baki defisit fiskal bagi enam bulan kedua 2019 bagi melengkapi anggaran awal keseluruhan iaitu sebanyak RM51.9 bilion (3.4 peratus daripada KDNK).

Walau bagaimanapun, saya juga ingin merujuk kepada siaran media Menteri Kewangan bertajuk, “Sasaran Defisit Fiskal Bagi Tahun 2019” yang bertarikh 2 November. Saya ingin memetik kenyataannya pada paragraf yang keempat;

“Untuk tempoh Januari – Oktober 2019, Kerajaan telah menerbitkan RM121 bilion hutang langsung secara kasar. Ia merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bernilai RM51.5 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bernilai RM50.5 bilion, Bil Perbendaharaan bernilai RM11.5 bilion dan instrumen-instrumen lain termasuk Bon Samurai bernilai RM7.5 bilion. Pada masa yang sama, Kerajaan telah menebus RM61.7 bilion, Kerajaan telah menebus RM61.7 bilion…”



Saya membuat dua perbandingan dalam Jadual 1 seperti di bawah. Pertama, jawapan bertulis yang diberikan kepada saya, manakala yang kedua siaran media Menteri Kewangan.


Berdasarkan kepada perbandingan tersebut, kerajaan perlu memberi penjelasan berapakah sebenarnya jumlah penebusan yang telah dan akan dibayar pada tahun 2019? Mengapa terdapat dua perbezaan ketara dalam penjelasan yang diberikan oleh Menteri Kewangan?

Bagi memenuhi sasaran defisit fiskal berjumlah RM51.9 bilion pada tahun 2019, Kerajaan Persekutuan memerlukan lagi RM14.2 bilion dan ia menjadikan jumlah keseluruhan pinjaman kasar adalah RM135.2 bilion. Jumlah ini jauh berbeza berbanding kiraan awal berdasarkan jawapan bertulis yang telah diberikan iaitu lebih kurang RM110.8 bilion. Perbezaan tersebut kerana jumlah penebusan yang sepatutnya dibayar pada tahun 2019.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan komited untuk memenuhi sasaran pinjaman bersih RM51.9 bilion, mengapa pula jumlah hutang langsung pada akhir Suku Ketiga 2019 (September) telah mencecah RM804.8 bilion? Jumlah semasa ini membuktikan pinjaman bersih Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM63.8 bilion atau defisit 4.2 peratus daripada KDNK.

Isu hutang langsung Kerajaan Persekutuan perlu dijelaskan dengan sistematik oleh Menteri Kewangan. Penyelarasan data perlu dilakukan supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat betul dan tepat. Artikel ini bukan menyanggah tetapi menuntut penjelasan dari Menteri Kewangan.

Ia berasaskan kebimbangan saya bahawa sekali lagi Menteri Kewangan keliru dalam menyatakan fakta yang tepat seperti isu wang pendahuluan kepada Kerajaan Kelantan pada tahun 2018 di mana awal tahun ini beliau nyatakan dalam jawapannya kepada saya bahawa jumlah wang pendahuluan kepada Kelantan tahun 2018 ialah RM22.5 juta namun dalam kenyataannya yang ‘bertajuk panjang itu’ baru-baru ini dinyatakan sebanyak RM91.5 juta.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
19 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 19/12/2019