KL Summit: Presiden PAS sambut baik inisiatif Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyahut inisiatif kerajaan menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah untuk membincangkan isu-isu yang menghimpit umat Islam di serantau dunia.

Advertisement

Katanya, Malaysia sesuai sebagai tuan rumah kerana berada di rantau Asia Tenggara aman dan tenang berbanding Asia Barat.

“Rantau ini lebih aman dan tenang daripada Asia Barat, dengan sebab itu kita ajak mereka datang ke sini dan Malaysia jadi tuan rumah dan saya ucap tahniah,” ujarnya yang menghadiri sidang pembukaan kemuncak KL Summit 2019 di KLCC di sini, tengah hari tadi.

Tambahnya, beliau merasa gembira dengan kehadiran delegasi dari Asia Timur seperti daripada Turki, Qatar, Iran untuk bersama menyediakan penyelesaian masalah umat Islam.

“Kerjasama bagi menyediakan penyelesaian masalah pada peringkat awal.

“Bukan sahaja isu politik yang banyak diperkatakan termasuklah isu kerjasama membangun sains teknologi, kerjasama ekonomi,” kemuka Tuan Guru Abdul Hadi yang turut berkempen kepada negara-negara Islam mengenai tujuan persidangan ini.

Hari ini merupakan pembukaan persidangan KL Summit 2019, delegasi antarabangsa yang turut sama menyahut seruan kerajaan Malaysia ialah Turki yang diketuai oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, negara Iran diketuai oleh Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani. – HARAKAHDAILY 19/12/2019