Dedah kekejaman Komunis terhadap Uyghur

    Himpunan membantah kekejaman kerajaan Komunis terhadap umat Islam di Uyghur.

    KOTA BHARU: Banyak lagi siri pendedahan akan diadakan bagi memberi maklumat mengenai kekejaman kerajaan Komunis China terhadap kaum minoriti Uyghur di negara itu.

    Advertisement

    Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim berkata, perkongsian daripada mangsa terlibat di China akan memberi maklumat kepada rakyat negara ini akan diadakan.

    “Usaha inilah kita lakukan untuk memupuk kesedaran serta meningkatkan lagi sensitiviti masyarakat khususnya dalam kalangan belia terhadap isu yang membabitkan umat Islam,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan aman bagi menyatakan bantahan terhadap penghapusan etnik Uyghur di Medan Ilmu hari ini.

    Turut menyertai perhimpunan aman itu Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Dato’ Dr Johari Mat dan Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

    Wakil Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) dan Ameerah menyampaikan ucapan mengenai krisis yang sedang melanda umat Islam di Xinjiang. – HARAKAHDAILY 20/12/2019