Lagi mati disebabkan pemandu mabuk?

SEORANG penerbit maut, manakala anak lelakinya patah peha kanan selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Klang Lama, semalam.

Kejadian demi kejadian yang melibatkan pemandu mabuk dilaporkan oleh media. Apa yang menyedihkan insiden sebegini terkadang mengorbankan nyawa yang tidak bersalah. Berapa banyak nyawa lagi yang harus dikorbankan sebelum kita mengambil tindakan tegas berhubung perkara yang melibatkan arak?

Tahun 2020 akan datang, kerajaan akan menguatkuasakan kewajipan memakai Car Seat untuk kanak-kanak sehingga kempen besar-besar dilaksanakan. Papan tanda dipasang di sekitar lebuh raya mengingatkan rakyat tentang kempen ini. Andai kempen Car Seat boleh dilaksanakan bagi menjaga nyawa kanak-kanak, mengapa kempen menjauhi arak atau mengharamkan terus arak tidak dilaksanakan? Bukankah mudarat arak telah terbukti jelas?

Ketegasan kita berhubung isu arak ini adalah sangat bergantung kepada kehendak pemimpin kita sendiri. Lihatlah bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz mengambil tindakan tegas dalam isu ini. Beliau diriwayatkan pernah mengarahkan supaya orang kafir tidak menzahirkan aktiviti arak mereka. Al-Imam al-Bayhaqi ketika menghuraikan tentang syarat-syarat ahli Zimmah (non-Muslim) yang tinggal bersama Muslim, beliau menyebutkan:

Advertisement



كَتَبَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ: أَلَّا يُظْهِرُوا الْخَمْرَ

“Umar Abdul Aziz pernah menulis surat supaya majlis arak (bagi non Muslim) seharusnya tidak dizahirkan (tidak diheboh, didedah dan berlaku secara tertutup)”.

(al-Bayhaqi, Ma’rifa al-Sunan wa al-Athar, 13/383)



Bahkan, Umar Abdul Aziz dilihat cuba menyekat kemasukan dan kebebasan aktiviti import atau eksport penjualan arak. Perkara ini direkodkan oleh Ibn Zanjaweh di dalam kitab al-Amwal:



كَتَبَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ إِلَى عَبْدِ الْحَمِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَهُوَ عَامِلُهُ عَلَى الْكُوفَةِ: أَنْ «لَا تُحْمَلَ الْخَمْرُ مِنْ رُسْتَاقٍ إِلَى رُسْتَاقٍ.

“Umar Abdul Aziz menulis surat kepada Abdul Hamid ibn Abdul Rahman iaitu Gabenor beliau di Kufah: (kata Umar) Jangan dibawa arak dari satu bandar atau wilayah (rustaq) kepada bandar atau wilayah yang lain.”

(Ibn Zanjaweih, al-Amwal, 1/282)



Menyedari betapa bahayanya kerosakan arak ini, Rasulullah S.A.W, para Sahabat serta khalifah terdahulu bertindak tegas menanganinya. Jangan pula ada di kalangan kita yang melihatnya sebagai dosa peribadi yang kita tidak perlu masuk campur. Dari perkara peribadi inilah ia merosakkan nyawa orang lain. Jangan pula ada yang terkeliru dengan konsep Rahmatan Lil Alamin sehingga membiarkan sahaja kerosakan yang berlaku atas alasan ‘private sphere.’

Jangan juga ada di kalangan pemimpin kita yang menganggap ringan perkara ini sehingga melihat arak ini seumpama orang kafir yang ‘meminum teh sahaja.’ Ini kerana kesan ‘teh’ ini bukan sahaja merosakkan akal, bahkan mengorbankan nyawa Muslim.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI

Sumber:

1. https://www.bhplus.com.my/berita/kes/2019/12/640139/penerbit-liputan-sukan-sea-2019-maut-nahas-anak-parah

2. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/527754/penerbit-maut-anak-parah-kereta-dirempuh-pikapHARAKAHDAILY 20/12/2019