Mengharap umat Islam bangkit dari tertindas

SELAMA berdekad hanya ada 1 Palestin, kini  sudah bertambah tiga lagi iaitu Xinjiang, Arakan dan Kashmir.

Adakah bagi mereka sekarang masa sudah tiba untuk ‘mengganyang’ orang Islam?

Apa yang mereka tidak tahu, yang sebenarnya sedang berlaku adalah menyusuli tekanan demi tekanan yang mereka berikan, ini adalah masa untuk orang Islam di seluruh dunia bangkit melawan dan kemudiannya akan mendominasi setiap penjuru alam. Bermula 2020, orang Islam akan bangkit memenuhi takdir Tuhan pada 2024, insyaAllah!

Selepas berakhir Perang Dingin apabila Soviet Union diruntuhkan selepas Mikhail Gorbachev, kita sentiasa mengharapkan satu kuasa besar lain akan bangkit bagi mengimbangi kemaharajalelaan Amerika Syarikat. Antara yang kita harapkan adalah China yang walaupun Komunis, ketika itu dilihat sebagai berpotensi untuk jadi satu kuasa yang walaupun mungkin tidak baik namun tidaklah sejahat Amerika Syarikat.

Kita hairan mengapa China yang walaupun mempunyai bilangan anggota tentera terbesar dunia, tidak pernah menunjuk riak berahi untuk menjadi super power. Kini apabila China tunjuk belangnya yang sebenar di Turkestan Timur, kita mengharapkan Amerika pula untuk membantu. Kita sentiasa mengharapkan orang lain untuk membantu saudara kita sendiri walaupun bantuan terpaksa diharapkan daripada kuasa jahat jua. Ia seumpama keluar mulut harimau masuk mulut buaya. Inilah akibatnya apabila kita lemah.

Adakah sebenarnya kita lemah?

Tidak! Allah telah memberikan 1,001 sumber kekayaan kepada negara Islam untuk bantu membantu sesama sendiri. Tetapi malangnya, sebahagian penguasa dunia Islam telah dikuasai penyakit ‘wahn’ cintakan dunia dan takut mati. Mereka teramat pentingkan diri, berpecah belah sesama sendiri dan sanggup dikuasai oleh kuasa kafir demi kepentingan diri sendiri.

Mereka biarkan saudara mereka jadi kambing yang bersendirian dibaham sekawan serigala daripada cuba membantu. Mereka biarkan diri mereka menjadi hidangan untuk kaum kafir dengan cita-cita keduniaan yang palsu. Mereka tidak diajar oleh ibu mereka sama seperti ibu Mesut Ozil yang memberi amaran, jika anaknya tidak guna kelebihan yang diberikan Allah untuk membantu orang lain “kau bukan anakku!” Buktinya, lihat sahaja kemelut di sebalik KL Summit 2019 yang mahu dijadikan platform mendamaikan semua pemerintah Islam untuk satu matlamat yang begitu penting. Mereka sebaliknya jadikan itu punca perpecahan.

Mengapa saya sebut 2024?

Turki kuasa Islam yang paling boleh diharapkan pada masa ini. Reccep Taiyip Erdogan punya gagasan Vizyon 2024 untuk Turki muncul kuasa utama dunia empat tahun lagi. Pada 2024 genap satu abad kejatuhan Empayar Turki Uthamaniyyah pada 1924 yang suatu ketika dahulu menguasai satu pertiga dunia hingga wilayah Turkestan Timur yang menjadi isu hari ini. Turki sebelum dijatuhkan Liranya oleh Amerika, antara negara yang ekonominya paling melonjak di dunia. Dari segi ketenteraan Turki adalah kuasa tentera kedua Nato selepas Amerika Syarikat dan keenam dunia. Walaupun keenam, ada analisis mengatakan Turki berupaya membantai kuasa tentera ketiga terbesar dunia iaitu Russia. Kedudukan Turki merimaskan Amerika Syarikat kerana telah menjadi prinsip Nato, sebarang serangan ketenteraan ke atas salah satu negara Nato bermakna telah menyerang kesemua negara Nato dan mereka akan bertindak balas secara blok. Keanggotaan dalam pakatan Nato menyukarkan Amerika untuk bertindak terhadap Turki melainkan menggunakan proksi sebagaimana cubaan coup d etat pada 2016.

Untuk umat Islam sejagat, Biz Bir Ummetiz atau Kita satu umat digerakkan oleh Erdogan untuk semua umat Islam seluruh dunia menyatukan hati dan tekad menentang kekejaman dan konspirasi yang berterusan terhadap dunia Islam.

Dengan Vizyon 2024 Erdogan kita amat mengharapkan kejayaan Turki menjadi super power untuk kita jadikan pencetus kebangkitan ummat sejagat. Ada hikmahnya Tuhan meletakkan takdir ini dengan pembabitan etnik Uyghur yang sememangnya punya pertalian dengan Turki. 2024 adalah tahun kebangkitan kuasa Islam. InsyaAllah.

Advertisement

MUHAMAD MAT YAKIM- HARAKAHDAILY 20/12/2019