OKU: Medan raih kasih sayang Allah S.W.T

BALING menjadi tuan rumah Hari OKU Antarabangsa 2019 setelah tiga tahun sambutan ini diadakan oleh Parti Islam Se-Malaysia PAS melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP).

Kesempatan meraikan OKU dijadikan antara ruang untuk PAS terus memperkasakan OKU dalam masyarakat. Sebagaimana al-Quran dan as-Sunnah telah meletakkan OKU pada suatu tempat yang istimewa, agenda pembangunan OKU sebagai antara keutamaan yang terus diberi perhatian.

Tahun 2019 menyaksikan pertama kalinya sambutan tahunan ini diraikan di luar Lembah Klang. Kedah yang mencatatkan negeri keempat tertinggi pendaftaran OKU iaitu berjumlah 48,913 orang, menggambarkan bahawa PAS mengiktiraf dan memberikan perhatian kepada setiap segmen dalam masyarakat.

Sebagaimana ilmu menjadi ejen penting dalam membina sahsiah manusia, penganjuran sambutan Hari OKU Antarabangsa 2019 terus menampilkan hasrat tersebut melalui forum bertajuk “OKU, Allah Melihat Air Matamu”.

Sambutan yang bukan hanya menumpukan kepada komuniti OKU tersebut turut mempelawa masyarakat awam untuk meraikannya bersama-sama dengan beramai-ramai menghadirkan diri  memeriahkan sambutan tahunan ini dengan tema “Kami Prihatin Mengupayakan OKU”.

MOHD FAIZAL CHE YUSOF
Timbalan Pengerusi 2
20 Disember 2019 | 23 Rabiulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 20/12/2019

Advertisement