Pendakwah ada ‘tanda harga’?

MOTIVASI untuk anak-anak dan adik-adik du’at sekalian.

Baru-baru ini tular cerita berkenaan ada tenaga pengkuliah atau senang cakapnya ustaz la. Yang demand satu kuliah RM3,000 hingga RM30,000. Saya tak nak komen sama ada cerita itu diada-adakan untuk memburukkan para ustaz atau memang ada ustaz jadian yang begitu dari kalangan ustaz-ustaz yang ada.

Di sini saya nak nasihatkan adik-adik dan anak-anak para du’at semua;

1.     Jangan pernah letak harga atas kuliah yang kita sampaikan. Walaupun nampak kuliah itu kita sampaikan kepada manusia, tapi hakikatnya kita sedang bekerja dengan Allah. Allah yang tentukan rezeki kita tanpa pernah alpa.
2.     Jangan tolak jika pihak masjid atau surau memberi. Kerana jika anda tidak punya wang, sumbangan itu boleh anda gunakan untuk sara kehidupan agar dapat menumpukan masa untuk persiapan dakwah. Jangan hirau bisikan syaitan yang over warak yang membisikkan jika ambil duit pemberian kuliah kononnya hilang pahala dan tidak ikhlas. Syaitan mahu anda menghentikan dakwah kerana sibuk cari belanja keluarga. Bagi yang sudah punya duit juga ambillah sumbangan itu. Nanti anda boleh salurkan kepada fakir miskin yang memerlukannya. Syaitan memang tak suka anda menderma.
3.     Teruskan dakwah dengan ikhlas kerana hati anda hanya anda yang tahu. Orang lain tidak berhak menghukum hati anda.

Pengalaman saya;
1.     Dulu saya buat macam-macam kerja untuk menyara pengajian. Tapi selepas saya berhenti belajar seketika dan mula bekerja dengan Allah, saya tidak lagi bekerja  dengan makhluk. Tapi Allah tidak pernah mengurangi hak saya bahkan melebihi dari apa yang saya jangka. Saya tak pernah hirau dari mana rezeki itu muncul asalkan halal.
2.     Banyak kali juga saya dijemput program dengan terpaksa guna modal sendiri. Beratus dan bahkan beribu berhabis dengan kos tiket flight dan pengangkutan. Tapi catatan Allah tak pernah lalai. DigantiNya waktu yang lain melebihi apa yang makhluk beri. Jangan ragu dengan Allah nanti syaitan akan ambil kesempatan melagakan kita dengan Allah dengan sangkaan yang tidak wajar bagi Allah. Jangan merungut.
3.     Saya tak pernah ada catatan duit masuk dan keluar ( kecuali urusan syarikat). Yang saya tahu saya boleh sara dua keluarga. Saya boleh bayar 3 buah rumah sewa dengan kos RM4,500 sebulan. Saya boleh bayar semua bayaran bulanan kenderaan saya (4 buah termasuk kenderaan isteri, sekolah dan syarikat) RM6,500. Saya boleh beli minyak kenderaan untuk keluar berprogram RM3,000 lebih sebulan. Belum kira kos hotel bila berprogram jauh dan kos pengajian 5 hari dalam sebulan di Riau. Belum lagi kira kos-kos lain seperti eletrik dan air. Yang saya tahu saya bekerja untuk agama Allah dan Allah Maha Suci dari lalai terhadap keperluan saya.

Adik-adik, yang penting pejamkan matamu. Lihat Allah di hadapan. Teruskan perjuangan demi Islam. Engkau tidak akan pernah diabaikan walau sesaat.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/12/2019

Advertisement