Penggunaan Matawang Digital kalangan Negara Islam

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik saranan agar diwujudkan penggunaan matawang digital di kalangan negara-negara Islam bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Dolar Amerika.

Advertisement

Perkara ini dinyatakan beliau ketika mengulas saranan Presiden Iran Hassan Rouhani agar diwujudkan kerjasama di kalangan bank-bank pusat negara Islam ke arah mewujudkan ‘matawang kripto’ yang dikawalselia secara bersama, dalam perbincangan meja bulat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Matawang kripto (cryptocurrency) ialah aset digital yang direka untuk berfungsi sebagai medium pertukaran menggunakan ‘kriptografi’ untuk menjamin transaksi dan mengawal penciptaan unit tambahan matawang, contohnya ‘bitcoin’.

Menurut Dr Hassan Rouhani, cadangan yang sama pernah dibuat oleh Tun Dr Mahathir sebelum ini untuk memperkenalkan Dinar Emas bagi menggantikan Dolar Amerika dalam urusan perdagangan antarabangsa.

“Mungkin hari ini dengan teknologi ‘blockchain’, kita dapat memiliki mata wang digital untuk negara-negara Islam serta memperoleh manfaat dan keuntungan hasil penggunaan matawang kripto bagi mengurangkan birokrasi turun naik pasaran dunia yang tidak menentu,” ujar beliau.

Mengulas cadangan tersebut, Tun Dr Mahathir berkata perkara ini pernah disuarakan beliau suatu masa dahulu bagi mengekang penguasaan matawang Dolar Amerika ke atas negara yang sedang membangun.

“Kita telah mencadangkan ini lama dahulu, kita tidak perlu menggunakan Dolar Amerika selalu sangat. Bila kita menggunakan Dolar Amerika, apabila ada sekatan dibuat, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi kita.”

“Jadi ini kita dengar buat kali pertama, Iran dan Tukri berpendapat kalau kita tiada Dolar Amerika, kita boleh guna matawang kita sendiri,” ujar beliau.

Pengumuman ini pastinya akan menghidupkan kembali perbincangan ke arah mewujudkan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh di kalangan negara Islam melalui penggunaan matawang sendiri, sebagaimana yang pernah digagaskan oleh Profesor Necmettin Erbakan, Mantan Perdana Menteri Turki.

Profesor Necmettin Erbakan yang mengasaskan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) melibatkan negara Turki, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Bangladesh, telah menyarankan agar diwujudkan sebuah kerjasama ekonomi melibatkan negara Islam dengan mempelbagaikan dan mencipta peluang-peluang baharu dalam hubungan ekonomi, teknologi, tenaga dan alam sekitar.

Justeru cadangan yang dilontarkan dalam Sidang Kemuncak KL Summit 2019 ini wajar menjadi penanda aras baharu ke arah kerjasama ekonomi yang lebih erat di kalangan negara-negara Islam, seterusnya meneroka jalan ke arah mewujudkan sistem tukaran matawang sendiri.

Sehingga kini, Bank Negara Malaysia masih belum mengiktiraf ‘matawang kripto’ sebagai matawang yang sah (legal tender) dan telah menetapkan beberapa peraturan untuk mengawalselia transaksi pengeluaran (offering) dan dagangan (trading) melalui kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Inisiatif ini pastinya memerlukan kajian yang mendalam dan kebijaksanaan semua pihak yang terlibat bagi memastikan aspek pelaksanaan dan pengawalan sistem ‘matawang kripto’ ini dapat melindungi kepentingan ekonomi negara Islam, seterusnya memberikan manfaat yang lebih besar kepada ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

  • Syahir Sulaiman, 20 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 20/12/2019