Adik Tengku Tasnim lakar senyum ke sekolah

    KEMAMAN: Bakal pelajar Tahun 1, Tengku Nur Tasnim Imani Tengku Mohd Alwy, 6, sudah tidak sabar dan sangat bersemangat untuk melangkah ke sekolah yang akan bermula tidak berapa lama lagi.

    Advertisement

    Dia antara penerima sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu berupa pakaian dan kelengkapan persekolahan pada majlis yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Kertih, di sini hari ini.

    Adik Tasnim hadir ditemani ibu tercinta, Siti Hawa Mohd Zakaria, 37, seorang ibu tunggal selepas berpisah dengan suami sejak setahun yang lalu serta adiknya, Nur Qaseh Aulia Amani Habil @ Azman, 4.

    Ibunya hanya mencari rezeki untuk sara hidup mereka tiga beranak dengan mengambil upah ‘potong benang’ sarung lengan (inner) dari kedai jahit berhampiran kediaman.

    “Dapatlah, RM35 untuk 500 pasang ‘inner’ yang mengambil masa lima hari untuk disiapkan kesemuanya,” ujar beliau.

    Sejak berpisah dengan suami, Siti Hawa tidak mampu lagi untuk membayar sewa rumah mereka dan hidupnya banyak bergantung kepada belas simpati adik kandung sendiri.

    Sumbangan disampaikan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili itu sangat tepat untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau miskin seperti keluarga Siti Hawa.

    Ketika disantuni, adik Tengku Nur Tasnim seperti tidak mampu lagi menyembunyikan kegembiraan.

    “Seronok sangat dapat baju dan beg sekolah baru, rindu nak jumpa kawan-kawan masa pra (tadika),” katanya yang bakal melangkah ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kertih, di sini.

    Bersama-sama Tasnim menerima sumbangan adalah seramai 285 pelajar peringkat rendah dan menengah dari lima kampung sekitar Kertih. – HARAKAHDAILY 21/12/2019