‘Back to School’ bantu 1,400 pelajar Bukit Gantang

BUKIT GANTANG: Kira-kira 1,400 pelajar berusia 7 hingga 15 tahun menerima sumbangan beg sekolah bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Advertisement

Semua mereka menerima sumbangan dalam program ‘Back to School 2020’ yang dianjurkan oleh Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Bukit Gantang dan Pusat Khidmat PAS Bukit Gantang.

Program kali keenam sejak tahun 2014  itu diadakan sejak 12 Disember yang lalu dan berakhir kelmarin diadakan di 18 lokasi berasingan dalam DUN Changkat Jering,  Kuala Sepetang dan  Trong.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, program berkenaan dianjurkan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa di mana mempunyai anak bersekolah khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Menurutnya lagi, pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang atas sumbangan yang diberikan bagi menjayakan program tersebut.

Malah, beliau juga menyeru agar dermawan-dermawan dapat menyumbang sedikit sebanyak barang keperluan bagi menjayakan program sumbangan seumpama itu pada masa akan datang.

“Dalam pada itu, program seumpama ini diharap dapat membantu meringankan bebanan ibu bapa dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Walaupun terdapat beberapa pihak lain yang menganjurkan program sedemikian, namun ia tetap mendapat sambutan yang cukup hangat dari kalangan penduduk tempatan sekitar kawasan Bukit Gantang,” katanya ketika ditemui di PASTI Kampung Cheh.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Bukit Gantang, Norzuhrah Abu Bakar.

Dalam pada itu, Idris berkata, pihaknya akan terus merangka inisiatif berkebajikan khususnya dalam membantu masyarakat dan komuniti kawasan itu.

“Kita berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan khususnya bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2019