Briged Muslimat Larut persiap kemahiran pasukan

LARUT: Dewan Muslimat PAS Kawasan Larut menerusi Briged Muslimat meneruskan agenda parti dan terbaru telah berjaya melaksanakan program Rehlah Briged Muslimat Larut di Kem As Salam, Selama, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Larut, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin, penubuhan Briged Muslimat semakin mendapat sambutan daripada kalangan Muslimat Muda khususnya yang diinspirasikan oleh Jabatan Amal Malaysia (AMAL).

“Antara tugasan penting dalam setiap program parti adalah aspek keselamatan secara menyeluruh yang telah dimainkan oleh AMAL dan Briged Muslimat di setiap peringkat,” ujar Ustaz Akmal.

Program yang menghimpunkan para peserta pelbagai lapisan umur dan latar belakang ini bertujuan mengukuhkan ukhuwah silaturahim dan benar-benar memberikan kesan positif kepada para peserta yang terlibat seramai 30 orang.

Keindahan suasana hutan dan air lata menjadikan para peserta teruja terutamanya kepada mereka yang belum pernah mengalami pengalaman sebegini dengan air mengalir dan rimbunan pepohon hijau.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Larut, Ustazah Noraini Salleh ketika ditemui berkata, beliau amat terharu dengan keterlibatan dan kerjasama erat sesama ahli khususnya antara peserta daripada kalangan veteran dan muda remaja.

Ustazah Noraini juga berharap agar program seumpama ini diadakan dan diperluas penglibatannya termasuklah anak-anak ahli PAS sebagai pendedahan awal persiap pasukan hebat di masa hadapan. – HARAKAHDAILY 21/12/2019