BTS PAS Pagoh bersama ADUN Bukit Pasir

PAGOH: PAS Kawasan Pagoh telah menganjurkan secara meriah program ‘Back to School’ (BTS) yang diadakan di pekarangan PASTI Al-Hakim, Taman Pagoh Jaya, di sini hari ini.

Advertisement

Program dijayakan bersama Adun Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep ini bertujuan membantu anak-anak asnaf dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta menjalin ukhuwah sesama masyarakat.

Seramai 30 pelajar menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti beg, alat tulis dan pakaian, manakala OKU mendapat barangan dapur seperti beras, tepung, minyak, gula, garam dan keperluan asas lain.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi  Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Johor, Ab Aziz Abdullah yang diiringi oleh Kapten (B) Najib kepada semua penerima.

“Golongan OKU terutama anak-anak kecil seharusnya mendapat perhatian tinggi daripada masyarakat kerana keperluan dan keistimewaan mereka lebih jauh berbeza daripada kita yang dilahirkan sempurna,” ujar ADUN tunggal PAS di negeri Selatan Tanah Air ini.

Lebih teruja Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Mohd Nor Taib turut sama meraikan program ini menggambarkan signifikan dengan Muafakat Nasional diterjemahkan dari program ini.

Program ini telah menyaksikan sambutan masyarakat yang cukup meriah, di mana semua penerima bantuan persekolahan telah dibawa untuk membeli belah pakaian di kedai Greenpoint Pagoh, di sini

Inisiatif tersebut dijalankan secara ‘Spent and Shop’ (Biaya dan Beli) di mana cukup menarik dan menjadi satu kaedah yang praktikal untuk membantu persiapan ke sesi persekolahan akan datang.

“Dengan berlangsungnya program BTS ini, jauh lebih bermakna dengan lebih ramai masyarakat terdorong kepada kerja-kerja amal jariah, menambah baik hubungan sesama masyarakat dan bermuafakat dalam kehidupan seharian kita.

“Sebagaimana petikan hadis Nabi, “Terdapat dua langkah yang sangat disukai Allah S.W.T; pertama kaki melangkah menunaikan solat fardhu dan kedua kaki yang dilangkahkan untuk silaturahim”,” ujar Keptan (B) Najib.

Program BTS dan Sumbangan Asnaf ini bakal diadakan untuk fasa kedua dan ketiga pada bulan ini dengan harapan agar lebih ramai masyarakat dapat dicapai khususnya bagi golongan-golongan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 21/12/2019