Muslimat-Wanita Teluk Intan perkukuh tarbiyah

TELUK INTAN: Dalam usaha memperkukuhkan Perpaduan Ummah, Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan sekali lagi menganjurkan program Munajat Perpaduan di Markaz Tarbiyah PAS Kampung Padang Tembak, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Program disertai lebih 50 ahli Muslimat PAS dan Wanita Umno bermula dengan solat Asar berjemaah, bacaan zikir munajat , tazkirah kelebihan zikrullah, minum petang dan ucapan dari ketua kedua-dua parti.

Ketua Wanita Umno Bahagian Teluk Intan, Zainon Ahmad menyifatkan kini adalah masa untuk sayap Wanita dan Muslimat bekerjasama berusaha memenangi hati pengundi agar membuat pilihan yang tepat dalam PRU15 nanti.  

“Melihat kepada corak kepimpinan PH yang gagal melaksanakan manifesto serta ancaman terhadap Islam di negara ini, maka semua Wanita dan Muslimat perlu lebih proaktif mempergiatkan usaha daftar pemilih.

“Selain itu, perlu bersama menyedarkan mereka tentang bahayanya  mengekalkan PH untuk terus berkuasa bagi penggal seterusnya,” peringat beliau.

Manakala Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas berkata, selain untuk merapatkan silaturahim antara kedua-dua ahli parti, ia juga bertujuan untuk menerapkan sifat pengabdian diri kepada Allah serta memohon kekuatan dari-Nya dalam memikul tanggungjawab jihad fisabilillah.

“Kekuatan material dan strategi sahaja belum cukup untuk melawan musuh Islam yang sudah tentu juga berusaha keras mengekalkan kuasa mereka.

“Para petugas Muslimat dan Wanita perlu membina kekuatan rohani dengan menjaga hubungan dengan Allah agar lahir kekuatan untuk mendepani pelbagai usaha pihak lawan.

“Ini kerana, sirah membuktikan jumlah tentera Musyrikin yang lebih besar mampu dikalahkan oleh tentera Islam yang lebih kecil jumlahnya tetapi memiliki ketakwaan dan keimanan kepada Allah  yang tinggi,” ujarnya.

Majlis petang itu berlangsung dengan penuh muhibah dan kedua-dua belah pihak berharap agar program sebegini dapat dilaksanakan secara berkala. – HARAKAHDAILY 21/12/2019