Cegah maksiat hingga ke akar umbi

DEWAN Muslimat PAS Malaysia mengecam pemasangan papan iklan Sugarbook walaupun ianya telah diturunkan, tetap mendatangkan implikasi besar kepada Malaysia yang merupakan negara Islam.

Penegasan ini merujuk kepada perbuatan dosa bagi umat Islam yang melanggar tatasusila dan kesopanan seakan dianggap biasa dan tanpa segan-silu ianya  dipromosi dengan alasan mengikut perkembangan dunia Barat.

Perkembangan zaman teknologi di hujung jari ini, begitu banyak dan mudah iklan-iklan berkaitan seks  yang menjurus ke arah penzinaan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dipaparkan melalui media sosial dan media arus perdana.

Kerana itu dalam al-Quran surah al-Isra’ ayat 32, Allah S.W.T menegaskan,
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Justeru kami menggesa pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan agar mengambil tindakan tegas dan wajar bagi mengawal hal ini daripada berleluasa.

Kepada aktivis dakwah dan penggerak PAS terutamanya, adalah menjadi cabaran untuk kita dalam mendidik umat dan menyebarkan ajaran Islam sebaiknya kepada masyarakat.

Ibu bapa, guru-guru serta pendidik memainkan peranan penting untuk memastikan generasi muda terutama anak-anak kita agar tidak terjebak dalam aktiviti sosial yang tidak bermoral dan hanya menambahkan kerosakan di bumi Malaysia.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Disember 2019 | 24 Rabiulakhir 1441H – HARAKAHDAILY  21/12/2019

Advertisement