PAPISMA ‘dewasakan’ peserta khatan PAS Gopeng

GOPENG: Cuti persekolahan panjang hujung tahun biasanya menjadi kelaziman para ibu bapa mengambil peluang dengan masa secukupnya untuk mengkhatankan anak-anak yang berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Advertisement

Pelbagai kaedah tersedia kini, sama ada memilih secara sendirian di rumah atau beramai-ramai bersama rakan taulan dalam majlis yang dianjurkan oleh pihak masjid, surau atau pertubuhan tertentu.

PAS Kawasan Gopeng melalui Dewan Pemuda PAS Gopeng turut menganjurkan majlis Khatan Perdana melibatkan 25 orang peserta di Wisma Purnama, Station 18 di sini, baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Gopeng, Ustaz Harith Hamzah berkata, program  bertujuan membantu masyarakat setempat melaksanakan khatan dengan kos berpatutan di samping dapat memperkenal PAS dengan lebih dekat lagi kepada masyarakat.

“Amalan berkhatan adalah syiar Islam yang sangat dituntut kepada penganutnya, malah Mazhab Shafie menegaskan bahawa amalan berkhatan adalah wajib bagi kaum lelaki dan wanita.

“Hikmah berkhatan dari sudut agama adalah menuruti amalan Nabi terdahulu, manakala dari sudut kesihatan dilihat seseorang itu mengutamakan kebersihan,” ucap Yang DiPertua PAS Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussein.

Seramai lapan foktor daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) menyempurnakan ‘pendewasaan’ anak-anak tersebut menggunakan kaedah Dorsal Slit.

Terdahulu sebelum dikhatankan, peserta ‘dimandikan’ secara beramai-ramai di perkarangan Wisma dengan pancutan air dari kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kampung Pasir Puteh, Ipoh.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan dan Naib Yang DiPertua PAS Gopeng, Azlan Jamaluddin dan Haiyi Mohd Tahir serta lain-lain. – HARAKAHDAILY 21/12/2019