PH mahu jadikan P Pangkor bebas cukai arak?

IPOH: PAS menyelar tindakan Kerajaan Negeri Perak kerana mempertimbangkan minuman keras sebagai item bebas cukai untuk dijual di Pulau Pangkor yang bakal diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai menjelang Januari 2020 ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, PAS menentang keras jika Kerajaan Negeri Perak bersetuju menjadikan arak sebagai barangan bebas cukai kerana minuman keras itu merupakan ‘ibu’ kepada segala maksiat.

“Masyarakat Melayu sebagai kaum majoriti di Pulau Pangkor kebanyakannya terdiri daripada nelayan. Dengan kemasukkan free duty arak mahupun rokok pasti akan menjejaskan dan meningkatkan masalah sosial terutama di kalangan muda belia,” terangnya.

Menurut beliau, isu ini telah sekian lama dibangkitkan, malah ianya juga telahpun dibahaskan di dalam Sidang Dun Perak semasa sesi perbentangan Belanjawan Negeri Perak oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Di dalam sesi pergulungan perbahasan baru-baru ini, Ahmad Faizal telah mengesahkan bahawa Kerajaan Negeri itu akan menambah bilangan lesen pusat hiburan dan lesen penjualan arak pada tahun hadapan.

“Apakah relevennya sebuah negeri yang diterajui oleh pemimpin Melayu Islam, namun masih gagal mempertahankan kedaulatan Islam di Perak ini? Sebagai pemimpin Islam, mereka sewajarnya membimbing Kerajaan Perak untuk mencari jalan lain bagi menambah pendapatan Kerajaan Negeri,” terangnya.

Tegas Razman, kemudahan secara terbuka dalam membeli dan meminum minuman keras akan mengakibatkan berlaku lambakan gejala sosial dan masyarakat akan terhibur dengan penuh kelekaan.

Ulasnya lanjut, arak bukan sahaja melalaikan kehidupan manusia, malah ia telah terbukti mengancam nyawa orang ramai terutamanya pengguna jalan raya yang saban hari kita lihat pelbagai kes kemalangan berpunca daripada pemandu mabuk.

Oleh hal sedemikian, PAS mendesak suara dan tindakan pimpinan Melayu Islam di dalam korum Kerajaan Negeri Perak agar dapat meneliti isu ini dengan baik bagi memastikan keharmonian negeri Perak dipelihara sebaiknya. – HARAKAHDAILY 21/12/2019

Advertisement