Kongres Anak Muda Kelantan teroka masa depan

    KOTA BHARU: Kongres Anak Muda Kelantan 2019 telah dirasmikan Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat mewakili Menteri Besar di Kompleks Islam Darul Naim, di sini hari ini.

    Advertisement

    Kongres ini telah dianjurkan dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Kelantan dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kelantan serta Dewan Usahawan Kelantan (DUKE).

    Ia menjadi medan menghimpunkan anak muda daripada pelbagai segmen, minat dan bidang fokus, antaranya kumpulan usahawan muda yang aktif dalam menggerakkan ekonomi negeri.

    Ketika sama mereka turut bernaung di bawah MARA, Koperasi Ummah (Ko-Ummah), PERDASAMA, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan berbelas lagi agensi serta jabatan pembangun belia niaga.

    Majlis juga diserikan dengan kehadiran anak-anak muda dari kampus tempatan, pelajar tahfiz, lepasan SPM dan STPM yang hadir bagi mendengar pengalaman oleh pihak panel di mana ia mampu membantu mereka merangka masa depan.

    Lebih 600 peserta memberikan fokus kepada semua sesi perkongsian diberikan oleh wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ko-Ummah dan Pengarah Urusan Eskayvie Sdn Bhd, Kartika Wati Mohamed.

    Begitu juga slot bersama Pengarah MARA Kelantan, Zulkarnain Zakaria dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari serta Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang dicermati oleh anak-anak muda ini.

    Resolusi kongres disampaikan oleh wakil peserta kepada Kerajaan Negeri yang mana menjadi intipati utama perbincangan dan pandangan pihak NGO dalam membangunkan sektor belia dan keusahawanan di Kelantan. – HARAKAHDAILY 22/12/2019