Sumbangan ‘Back to School’ DUN Penaga

KEPALA BATAS: Misi kebajikan sempena cuti sekolah diteruskan lagi oleh Pusat Khidmat ADUN Penaga dengan menganjurkan Majlis Sumbangan ‘Back to School’ di premis ini, di sini kelmarin.

Advertisement

Seramai 60 penerima anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh DUN Penaga yang terpilih telah menerima sumbangan tersebut.

ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah telah hadir merasmikan majlis tersebut sekali gus menyampaikan sumbangan kepada semua penerima.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah HELWA DUN Penaga yang sama-sama membantu melancarkan majlis.

Sumbangan berupa baucar pembelian barangan persediaan persekolahan di Kedai Canggih, Bertam Walk Kepala Batas Pulau Pinang.

“Kita berterima kasih kepada semua dermawan terutamanya daripada NGO Azhar Care dan Syabab Care serta tokoh korporat yang banyak menyumbang bagi menjayakan majlis ini,” ujar Ustaz Yusni.

Sumbangan ini akan menjadi aktiviti tahunan Pusat Khidmat ADUN Penaga yang matlamat utamanya adalah untuk membantu golongan fakir miskin di DUN Penaga.

“Kita mengharapkan dana kebajikan untuk tujuan persekolahan khususnya untuk anak-anak yang berkelayakan akan sentiasa mendapat perhatian semua pihak dan kita akan cuba bantu dengan kemampuan yang ada,” katanya.

Melalui motto “Sebarkan Senyuman Dalam Pemberian“, Pusat Khidmat ADUN Penaga komited meneruskan khidmat yang terbaik untuk penduduk dalam kawasan ini.

Warga Malaysia yang prihatin turut sama boleh membantu usaha ini dengan sumbangan dibuat ke Tabung Kebajikan Pusat Khidmat di Maybank 5572 5006 5963 atas nama MYMP Ummah Resources. – HARAKAHDAILY 22/12/2019