Doakan kesembuhan buat Izuan Ibrahim

Alami 'intracranial bleeding', telah jalani pembedahan

DOAKAN kesembuhan buat sahabat kita, Izuan Ibrahim yang kini sedang kritikal terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Izuan Ibrahim merupakan anak jati kelantan kini sedang koma dan tidak sedarkan diri sejak awal minggu ini disebabkan intracranial bleeding dan telah menjalani pembedahan segera bagi mengeluarkan darah beku dalam otak.

Beliau yang kini masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan diharapkan diberikan kesembuhan dan sama-sama lah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar dapat kembali sihat seperti sedia kala.

Beliau merupakan bekas jurulatih Persatuan Badminton Perlis serta menjadi kebanggaan kita semua apabila pernah melatih para pemain ternama Jepun di bawah Kelab Badminton Ehime dan juga melatih pasukan Kebangsaan remaja Jepun.

Beliau bersama Salim Samion telah ditawarkan untuk berkelana di Jepun sebagai jurulatih badminton bermula 17 Februari 2011 berdasarkan pelbagai rekod cemerlangnya dan turut dikenali coach wasabe budu.

Sebagai rekod, beliau mula berminat dengan sukan badminton ketika berusia 11 tahun dan mula melebarkan sayapnya sebagai pemain badminton dengan mewakili pasukan negeri Kelantan.

Beliau juga merupakan lepasan Maktab Perguruan Ilmu Khas tahun 2003 hingga 2005 dan pernah berkhidmat sebagai guru di negeri Selangor, pada masa sama beliau mula menyertai Kelab Nusa Mahsuri sebagai pemain.

Roslin Hashim dan Hafiz Hashim adalah rakan sepermainannya di Nusa Mahsuri di bawah bimbingan lagenda badminton negara, Misbun Sidek serta kemudiannya Izuan turut menjadi jurulatih di situ.

Izuan yang pernah muncul juara Japan Open 2001 dan turut menjadi jurulatih kepada Ramdan Misbun hingga membawa kejayaan pada tahun 2009 di Kejohanan Dunia Remaja serta membimbing pasukan remaja Kebangsaan.

Beliau kini baru memulakan Izuan Ibrahim Badminton Academy (IIBA) berpusat di Kelantan menunjukkan minat dan kegigihannya dalam membangunkan sukan badminton seterusnya melahirkan bakat baharu pada masa hadapan.

Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Malaysia amat menyokong usaha murni beliau dan berharap untuk kita semua teruskan menyokong beliau dan hulurkan sebarang bentuk bantuan sewajarnya.

Semoga segala usaha baiknya selama ini dalam mendidik anak bangsa dikira oleh Allah S.W.T sebagai amal kebajikan yang boleh menjadi ‘ganti’ agar diberikan kesembuhan dan kesihatan yang lebih baik, InsyaAllah.

“Fit Is Sunnah”
“Sukan Satukan Kita”

HAFEZ SABRI
Ketua Pengarah
DACS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/12/2019

Advertisement