Muslimat Indera Mahkota gigih laksana ‘Street Dakwah’

INDERA MAHKOTA: Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota telah mengadakan program Street Dakwah yang dilangsungkan di empat lokasi kunjungan ramai, kelmarin.

Advertisement

Bertujuan mendekati dan menyantuni masyarakat, program lapangan ini telah diadakan di Bukit Pelindung, Pusat Rekreasi Pelindung Tasik, Pantai Batu Hitam dan juga Taman Bandar, di sini.

Program juga dijayakan bersempena dengan memperingati bulan kelahiran Rasulullah S.A.W mengenalkan Baginda kepada masyarakat serta menghayati usaha perjuangan telah diwariskan.

“Kita memilih tempat yang strategik ini di mana ramai pengunjung datang pada hujung minggu dan kunjungan kami menyampaikan risalah dakwah dalam Bahasa Melayu, Cina dan India.

“Alhamdulillah, disambut baik oleh masyarakat di samping mengajukan soalan-soalan yang berkaitan dengan agama kepada pengunjung yang beragama Islam,” kata Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Indera Mahkota, Ustazah Zainah Mohamad.

Menurut beliau, program dakwah ini juga akan diadakan berterusan dengan aktiviti ziarah bersama lajnah-lajnah lain iaitu Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Lajnah Politik dan Pilihan Raya.

Juga katanya, melibatkan Muslimat Muda dan Kelab As-Sabiqat dengan menyampaikan dakwah secara lisan, memberi risalah dalam pelbagai bahasa dan nota-nota yang berkaitan dengan solat orang sakit dan sebagainya.

Menurutnya, hal tersebut bertepatan dengan PAS bukan sahaja sebagai parti politik tetapi adalah juga sebagai medan dakwah. – HARAKAHDAILY 23/12/2019