PAS-MU sedia tawan Pulau Pinang

    KEPALA BATAS: PAS Negeri Pulau Pinang telah menerima kunjungan daripada Parti Bersama Malaysia (MU) dalam pertemuan di Markas Tarbiyah PAS Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

    Advertisement

    Pertemuan secara rasmi julung kali itu telah membawa perbincangaan kedua pihak kepada kerjasama dan persefahaman untuk berdepan DAP dan PH di negeri ini.

    Ia juga menjadi platform utuh dan kuat bagi memberi isyarat kepada Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP bahawa PAS dan rakan-rakan politik lain di negeri telah bersedia bekerjasama.

    Secara khusus kerjasama kelak serius ke arah untuk menawan pemerintahan Kerajaan Malaysia dan Negeri Pulau Pinang menerusi gemblengan sokongan rakyat.

    Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof  menegaskan bahawa Islam adalah sesuai dan relevan sebagai cara hidup bagi semua individu tanpa mengira bangsa.

    Beliau mengemukakan ayat 13 surah al-Hujurat dan menegaskan keterbukaan PAS Pulau Pinang melaksanakan kerjasama dan persefahaman bersama bagi kebaikan dan manfaat rakyat.

    Presiden  MU, Tan Gin Theam menjelaskan, partinya berbeza dengan DAP kerana fokus mereka adalah We Care, We Share selain rakyat adalah ‘majikan’ sama ada sebelum, semasa dan selepas PRU.

    “Kita bekerja bukan mengikut kemahuan kita tetapi berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat. Isu tanah runtuh dan banjir, isu tambak laut dan terowong, isu rumah mampu milik, isu taraf hidup serta isu PTMP perlu dijelaskan kepada rakyat kerana ia memberi implikasi besar kepada generasi akan datang,” ujarnya.

    Hasil pertemuan ini, PAS dan MU telah bersedia melaksana gerak kerja bersama dalam empat perkara utama iaitu muafakat untuk mengusir DAP Chauvinis serta memperkukuh dan membaik pulih kembali semangat hormat-menghormati antara kaum dan agama.

    Juga merapatkan jurang antara kaum yang kian prejudis semenjak DAP dan PH memerintah, serta mengembalikan kestabilan Malaysia sebagai pesaing ekonomi termaju di Asia Tenggara. – HARAKAHDAILY 23/12/2019