Perlawanan bola sepak bantu pesakit kanser

KOTA BHARU: Perlawanan bola sepak amal antara pasukan Kelab Pengadil Ketereh Kelantan dan Team Kejora FC (Terengganu) akan diadakan esok bagi mengutip dana bagi membantu pesakit kanser.

Advertisement

Perlawanan amal itu untuk membantu adik Muhammad Syakir Aiman Suhoimi 5, yang disahkan mengidap penyakit kanser Ogos lalu.

Presiden Kelab Pengadil Ketereh Kelantan, Zailani Hanizam Ishak berkata, pertandingan itu akan diadakan pada 24 Disember (esok) bertempat di Padang Majlis Daerah Ketereh.

“Ayah adik Syakir, Suhoimi Mohd Arifin memberitahu anaknya dikesan mengalami penyakit itu pada April lalu,” ujarnya di sini.

Zailani berkata, perlawanan pada jam 8 malam esok tidak dikenakan sebarang tiket. Bagaimanapun penganjur menyediakan tabung khas untuk memudahkan orang ramai menderma.

Sehubungan itu beliau berharap orang ramai hadir bagi mengikuti perlawanan amal tersebut sambil menderma. Syakir merupakan anak tunggal kepada ahli Kejora FC. – HARAKAHDAILY 23/12/2019