Tindakan segera buka muara atasi ‘banjir termenung’

KEMAMAN: Tindakan segera ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengarahkan kerja-kerja membuka muara Sungai Paloh, Kertih, di sini yang tertutup oleh mendapan pasir telah berjaya mengatasi fenomena ‘banjir termenung’ di beberapa kawasan rendah.

Advertisement

“Air banjir berpunca dari hujan lebat sekali lagi tidak dapat keluar ke muara, kerana setiap kali tiba musim tengkujuh, ombak besar akan menghantar semula pasir masuk ke dalam muara, sekali gus menutup semula muara terbabit.

“Kerja-kerja membuka muara telah kita dijalankan minggu lepas, namun hanya bertahan tiga hari sahaja. Walaupun tiada rumah penduduk terjejas, banjir termenung menyebabkan kawasan rendah yang diusahakan untuk bercucuk tanam masih ditakungi air,” ujar beliau ketika meninjau kerja-kerja tersebut, petang semalam.

Tambahnya, usaha pemuliharaan akan dijalankan di masa hadapan untuk membolehkan aliran air Sungai Paloh berjaya mengalir jauh ke tengah laut seperti biasa.

Sementara itu seorang pekebun sayur, Abdul Manan Embong, 60, memberitahu, pihaknya mengalami kerugian setelah tanaman sayuran yang diusahakan musnah ditenggelami air.

Menurutnya juga, ramai orang kampung mencari rezeki dengan berkebun sayur dan tanaman yang diusahakan mereka adalah kacang panjang, timun batang, cili, jagung, sawi dan lain-lain.

“Aduan kami telah mendapat perhatian serius oleh ADUN, besar juga harapan kami agar muara sungai dapat dipulihkan untuk memastikan aliran sungai yang lancar dan kebun kami tidak lagi dilanda banjir termenung,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/12/2019