UPKK 2019: SRITI Muallim catat kecemerlangan

    TANJUNG MALIM: SRITI Muallim telah mencatat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2019 setelah seramai 16 muridnya memperolehi 8A dan 5 murid memperolehi 7A.

    Advertisement

    Keputusan tersebut sekali gus meningkatkan prestasi sekolah di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Malim apabila mendapat tempat kelima terbaik keseluruhan dalam daerah Muallim.

    Guru Besar SRITI Muallim, Ustaz Sayed Zamzuri Sayed Nengah melahirkan rasa syukur setelah berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan iaitu 15 mendapat keputusan cemerlang 8A bagi UPKK tahun ini.

    “Kejayaan murid-murid UPKK bagi tahun kedua ini adalah atas faktor usaha bersama para guru dan ibu bapa yang bersungguh-sungguh di samping doa berterusan untuk kejayaaan mereka.

    “Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pihak yang bertungkus lumus memberi dorongan dan semangat kepada murid dalam menghadapi UPKK tahun ini.

    “PAS Perak amat menitikberat soal pendidikan yang menjadi elemen penting sesebuah negara. Tahniah di atas kejayaan murid-murid SRITI Muallim dan terbukti SRITI adalah pilihan terbaik,” kata Pengerusi Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) SRITI Muallim, Dr Khaled Mat yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Perak.

    Selain Dr Khaled dan Ustaz Sayed Zamzuri, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), SRITI Muallim, Ustaz Luqmanulhakim Zahari turut hadir menyampaikan slip keputusan UPKK kepada murid-murid di sekolah baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 23/12/2019