Konvoi A4C Pulau Pinang bantu mangsa banjir

    TASEK GELUGOR: Kelab Pacuan 4 Roda (A4C) PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Konvoi Misi Bantuan ke Kelantan membawa sumbangan keperluan asas untuk mangsa-mangsa banjir, kelmarin dahulu.

    Advertisement

    Konvoi kumpulan ini diketuai Pengarah A4C Pulau Pinang, Fadzil Baharom bersama kekuatan enam pacuan empat roda dan 16 sukarelawan yang berlepas dari Simpang Empat Permatang Buluh, di sini.

    Semua sumbangan diperolehi daripada NGO Muslim Care Malaysia, Khidmat Malaysia, PAS Kawasan Tasek Gelugor, PAS Cawangan Simpang Empat Permatang Buluh dan individu perseorangan.

    Barangan sumbangan yang diperolehi dan dibawa adalah seperti lampin pakai buang kanak-kanak, tuala wanita dan pakaian, serta air mineral disumbangkan khas oleh BHP Permatang Pauh.

    Serahan telah dibuat kepada Adun Air Lanas, Dato’ Abdullah Yaakob yang juga Speaker DUN Kelantan dengan turut dihadiri Yang DiPertua PAS Kawasan Jeli, Affandi Mohamad serta 12 Penghulu Kampung.

    Juga hadir adalah mantan Pengarah Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kelantan, Dato’ Muhammad Hadi selaku koordinator majlis di mana bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 634 mangsa banjir.

    Fadzil turut membuat serahan wang tunai RM3,200 mewakili PAS Tasek Gelugor dan seramai 24 asnaf juga menerima zakat sempena majlis itu. – HARAKAHDAILY 24/12/2019