Krismas: Sejarah, budaya dan hukum berkaitan

SEJARAH sambutan Krismas

Hari Krismas disambut pada 25 Disember setiap tahun oleh penganut Kristian. Penganut Kristian dari seluruh dunia menyambutnya sebagai satu perayaan tradisi sejak 2000 tahun yang lalu. Di tahun-tahun awal ‘Christianity’, sambutan utama hanyalah Hari Easter, dan tiada sambutan untuk kelahiran Jesus.

Walaupun, beberapa hujah menunjukkan kelahiran Jesus adalah di waktu musim bunga, Pope Julius I telah memilih 25 Disember sebagai perayaan kelahiran Jesus. Ini dikatakan sebagai langkah untuk menerima budaya sambutan ‘Saturnalia’ orang Pagan yang terdahulu. Pertengahan musim sejuk juga merupakan tempoh perayaan yang biasa di kalangan orang Eropah, sebagai meraikan tamatnya hari-hari malam yang panjang dan Sang meraikan kehadiran hari siang yang lebih panjang.

Sambutan Krismas di Malaysia

Di Malaysia, 25 Disember telah dijadikan hari cuti umum sebagai menghormati perayaan ini. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah penganut Kristian di Malaysia adalah sekitar 9.2 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Ini menjadikan penganut Kristian sebagai penganut agama ketiga terbesar di Malaysia. 

Antara aktiviti tradisi dalam menyambut sambutan Krismas ialah bertukar-tukar hadiah, menghias pokok Krismas, menghadiri aktiviti di gereja, makan beramai-ramai dan menziarahi keluarga serta sahabat-sahabat karib.

Wajarlah sambutan ini dihormati sebagai meraikan rakan-rakan kita daripada penganut Kristian, sesuai dengan konsep toleransi yang diamalkan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Umat Islam dan sambutan Krismas

Persoalan yang sering berlegar di kalangan umat Islam di Malaysia setiap kali perayaan agama lain disambut ialah apakah hukum mengucapkan ucapan selamat sempena perayaan ini.

Menurut pandangan Mutfi Wilayah Persekutuan;

Advertisement



“Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.”



Ini selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 tahun 2007 yang berbunyi:



“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”



Beberapa garis panduan daripada Mufti Wilayah Persekutuan sebagai pedoman kita:

•     Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

•     Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.

•      Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

•     Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah S.A.W sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan:



“Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.”



Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38:



Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak.




Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim di sini: [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2653-al-kafi-838-hukum-menghadiahkan-arak-kepada-non-muslim].



Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.

•     Dibolehkan untuk hadir ke majlis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri. Diriwayatkan bahawa Umar R.A berkata:



“Janganlah kalian menemui orang-orang Musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, kerana kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.”

(Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan (9/234) dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1609))



Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram. (Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah, 3/432)

Kami menyarankan umat Islam menghormati dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan jadikanlah hari cuti perayaan ini sebagai waktu untuk mengeratkan perpaduan di kalangan kita. Hormatilah perbezaan budaya yang ada di kalangan kita dan jadikanlah perbezaan ini sebagai satu kekuatan unik rakyat Malaysia.

Rujukan:
https://www.history.com/topics/christmas/history-of-christmas

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2099-bayan-linnas-siri-ke-81-hukum-mengucapkan-merry-christmas-kepada-mereka-yang-beragama-kristianHARAKAHDAILY 24/12/2019