Pasangan kembar Jabatan Amal ke Rahmatullah

    BUKIT GANTANG: Anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Bukit Gantang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari tugasan program Liqa’ Fikri PAS Perak pada 6 Disember lalu meninggal dunia, semalam.

    Advertisement

    Dalam kejadian tersebut, Muhammad Najib Muhamad Fakhri, 16 yang membonceng motosikal telah bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan, kira-kira dua kilometer dari Markas Tarbiyah PAS Perak, Air Kuning, di sini.

    Pasangan kembarnya, Muhammad Nabil yang menunggang motosikal, meninggal dunia sejurus dibawa ke Hospital Taiping pada malam kejadian, manakala Najib atas kecederaan parah dialaminya telah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Menurut bapa saudaranya, Ahmad Dollah, Allahyarham Najib yang dirawat selama 16 hari menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa hari selain tidak mengalami sebarang pendarahan dalaman berdasarkan ujian CT-Scan ke atasnya.

    “Namun, tengah hari semalam keadaannya mulai kritikal di mana demam yang dialaminya sejak hari kemalangan itu tidak berkurangan dan tekanan darahnya mulai menurun. Jam 1.50 pagi tadi (semalam) Najib menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kami redha dengan ketentuan Ilahi yang lebih sayangkannya,” tambahnya sayu.

    Solat jenazah Muhammad Najib diimamkan oleh abangnya, Muhamammad Aminudin Zaki disertai ratusan jemaah di Surau Ahmadiah, Kampung Sungai Petai dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Ibol, dekat sini.

    Turut hadir ke majlis pengkebumian itu ialah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, serta Ketua Pengarah AMAL Malaysia, Norazman Ishak dan Pengarah AMAL Perak, Abdul Karim Abdul Rasid.

    PAS Perak turut menyampaikan sumbangan RM4,000 kepada keluarga Allahyarham diserahkan oleh Ustaz Idris kepada bapa mereka, Muhamad Fakri Mohd. – HARAKAHDAILY 24/12/2019