TASTI As-Solihin ‘pertama’ di Indera Mahkota

INDERA MAHKOTA: Hari Terbuka TASTI As-Solihin telah dilangsungkan sebagai memberi maklumat kepada awam mengenai institusi jagaan ini yang diadakan di KotaSAS Kuantan, di sini.

Advertisement

Ianya dilaksanakan dengan penglibatan daripada Ahli-ahli Lembaga Pengelola dan pendidik TASTI yang melayan tetamu secara individu menerusi sesi temu-terang, kelmarin.

“TASTI merupakan produk Dewan Muslimat PAS Malaysia. Visinya adalah untuk menerajui penghayatan Asma-ul-Husna dalam kehidupan kanak-kanak, seawal usia.

“Selain itu, antara tujuan TASTI ditubuhkan adalah untuk menawarkan kepada ibu bapa tempat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam yang selamat dan kondusif. 

“TASTI As-Solihin adalah yang pertama ditubuhkan di bawah Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota,” kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Wan Anis Masila Wan Abdullah Sani.

Salah seorang pengusaha TASTI As-Solihin yang juga Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Indera Mahkota, Nor Hafsah Omar menyifatkan sambutan dari warga KotaSAS dan masyarakat di sekitar adalah memberangsangkan

“Di hari pembukaan ini, kami telah menerima pendaftaran seramai 28 kanak-kanak dan bakal beroperasi bermula 2 Januari 2020. Semoga lebih banyak TASTI ditubuhkan di seluruh negara bagi merealisasikan impian Dewan Muslimat PAS membangunkan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/12/2019