AMAL mantapkan persiapan kebangkitan

    KAMPAR: Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia (AMAL), Norazman Ishak menyeru anggota AMAL supaya memantapkan organisasi melalui Teras Lima Budaya Amal bagi memastikan kebangkitan di negeri ini.

    Advertisement

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Kursus Asas Kemahiran AMAL (KAKA) 2019 di Kem Al-Falah, Kuala Dipang, di sini kelmarin dahulu.

    “AMAL ini bukanlah saya. AMAL ini adalah kita. Kita bergerak sebagai (sebuah) organisasi. Kita tidak boleh bergerak sendiri. Untuk kita memperkukuhkan organisasi, setiap orang mesti faham dan hadam lima Budaya Kerja kita,” ujar beliau.

    Beliau kemudian menghuraikan lima perkara tersebut iaitu keimanan dan ketakwaan, ilmu dan amal soleh yang benar, kemahiran dan keterampilan, berdisiplin dan berakhlak mulia, serta beramal kerana Allah.

    “Kita kena bekerja. Jadi kita kena elakkan konflik dengan mana-mana entiti PAS. Kalau kita rasa tak setuju, kita bawa berbincang.

    “Apabila kita berkata mengenai organisasi, saya selalu tekankan aspek keanggotaan. Penting. Kita kena berusaha untuk kita tambahkan keanggotaan,” ujarnya

    Lantaran itu, beliau menyeru pimpinan peringkat Negeri dan Kawasan agar memulakan usaha itu melalui penyertaan Ahli Jawatankuasa dan ahli keluarga masing-masing.

    Kemuncak penghayatan budaya kerja itu diharap dapat meletakkan AMAL sebati dengan Pemuda hingga terpahat ‘Pemuda ialah AMAL, AMAL ialah pemuda’.

    “Apabila kita melihat prediction ke hadapan, maka sudah semestinya kita memerlukan amilin-amilin yang banyak dan terlatih. Kita perlukan jurulatih dan sebagainya. Dan sudah semestinya kita mempunyai banyak gerak kerja di hadapan.

    “Saya mengharapkan kebangkitan daripada Jabatan Amal Negeri Perak. Kerana ia antara negeri yang mempunyai kawasan yang banyak berbanding Kelantan dan Terengganu. Jadi, kebangkitannya nanti pasti sebuah kebangkitan yang kuat (hebat),” ujar beliau lagi.

    Kursus tiga hari yang berakhir kelmarin dahulu melayakkan 124 pelatih yang turut terdiri daripada pimpinan Pemuda Negeri dan Kawasan untuk menerima Sijil KAKA 1 dan 2. – HARAKAHDAILY 25/12/2019