ASB 5.5%: Kelembapan pelaburan, ketidakstabilan politik

    BEBERAPA hari lepas, Pengerusi PNB Tan Sri Zeti Aziz telah mengumumkan pengagihan pendapatan ASB adalah sebanyak 5 sen seunit ditambah dengan bonus 0.5 sen seunit, menjadikan hasil keuntungan tahunan sebanyak 5.5 peratus, rekod terendah dalam sejarah operasi PNB.

    DPPM melihat bahawa situasi ekonomi semasa Malaysia yang mencabar telah mengakibatkan Bursa Malaysia mencatatkan pencapaian yang lemah. Malah, Bloomberg telah menobatkan indeks FBM KLCI sebagai pasaran saham utama yang terburuk di dunia. Dalam tempoh 12 bulan terbaru, Bursa Malaysia mencatatkan secara purata kemerosotan nilai sebanyak 6-7 peratus.

    Secara umum, ekonomi yang lembap diakibatkan oleh situasi ekonomi global yang mencabar dipelopori ketidaktentuan pasaran dengan isu perang dagang antara China dan Amerika Syarikat dan Brexit. Keadaan bertambah buruk di Malaysia apabila Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memperkenalkan polisi ekonomi yang berkesan bagi menangani kelembapan ekonomi global ini. Polisi-polisi pentadbiran kerajaan yang dilihat tidak konsisten juga memburukkan keadaan dengan pelabur luar dilihat menjual saham-saham domestik yang mengakibatkan harga saham semakin susut.

    Fokus kepada penambahbaikan ekonomi negara terjejas disebabkan oleh ketidakstabilan politik negara dengan berlakunya banyak pergolakan politik dalaman dalam PH antaranya pertembungan tentang soal siapa Perdana Menteri ke-8 dan ketidakcekapan pemimpin negara dalam menangani isu-isu sensitif dengan berkesan.

    Kerajaan hari ini wajar bertanggungjawab terhadap kemerosotan ekonomi yang berlaku ini dan tidak semudahnya meletakkan kesalahan kepada pengurusan lalu sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Dato’ Seri Azmin Ali baru-baru ini.

    Walau bagaimanapun, DPPM ingin memberikan penghargaan warga kerja PNB kerana dalam keadaan mencabar seperti ini, PNB masih mampu memberikan pulangan positif yang kompetitif (5.5 peratus) dalam keadaan 65 peratus dana ASB dilaburkan di dalam ekuiti tersenarai di Bursa Malaysia. Tambahan pula, dana ASB bersifat harga tetap (fixed price) di mana risiko kerugian bagi pemegang unit adalah amat rendah, menjadikan ASB satu unit amanah yang unik yang tidak didapati pada unit amanah lain dalam pasaran.

    PNB merupakan organisasi yang ditubuhkan dengan niat murni bagi mengagihkan kekayaan korporat kepada rakyat terutamanya golongan Bumiputera. Pihak DPPM menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada PNB dan berharap agar PNB akan kekal ditadbir tanpa pengaruh ahli politik.

    IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
    Ketua Pemuda
    Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 25/12/2019

    Advertisement