‘Baik kaum wanita, baiklah negara’ – Nuridah

    LIPIS: Dewan Muslimat PAS Kawasan Lipis telah mengadakan Majlis Bicarawara Tokoh Muslimat dengan tema “Keluarga Bahagia Ummah Sejahtera” yang dilangsungkan di Kuala Lipis, di sini hari ini.

    Advertisement

    Majlis diisi dengan Bicara ‘Alimat yang disampaikan oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dengan membawa tajuk “Muslimah Penjana Keluarga Bahagia, Ummah Sejahtera“.

    Majlis dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi yang dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa negara akan mendapat rahmat Allah S.W.T jika sekiranya ummah bertakwa.

    Jelasnya, Penyatuan Ummah yang digagaskan PAS-Umno telah meletakkan negara ini di atas landasan untuk mencapai matlamat tersebut dan seharusnya disokong bersama oleh seluruh rakyat.

    “Baik wanita (maka) baiklah negara, rosak wanita rosaklah negara,” ujar Ustazah Nuridah menerangkan pentingnya peranan wanita, selain beliau menyeru melaksanakan amar makruf nahi munkar, selain beriman.

    “Adakah kita merasa selesa dengan pemerintahan PH hari ini? Tidak sama sekali. Islam telah memimpin lebih 1,300 tahun bermula dengan zaman Rasulallah S.A.W. Islam ketika itu digeruni oleh orang bukan-Islam dunia.

    “(Tetapi) Hari ini agama Islam dan Rasulullah S.A.W dihina di negara kita dan kita seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa. (Jadi) Orang Islam bersatu, kita mempunyai satu agama, satu Al-Quran dan satu Allah.

    “(Tetapi) Selepas PRU14 orang bukan-Islam menguasai kita menjadikan kita tidak selesa. Kita sepatutnya malu kepada Allah S.W.T. Di sinilah adanya peranan muslimah menjaga keluarga untuk jaga ummah.

    “Kita bukan sahaja hendak menyelamatkan umat zaman kita tetapi tindakan kita hari ini akan menyelamatkan umat generasi akan datang,” ujar beliau.

    Serunya, seperti mana Allah memerintahkan supaya khusyuk dalam solat, begitulah Muslimat juga perlu berusaha bersungguh-sunggh untuk menegakkan Islam dan usaha ini perlu dilakukan secara kolektif atau jamaah.

    Dalam slot Bicara Tokoh pula, seorang tokoh pendidikan, Ustazah Nur Hanisah Afandi telah mengisi perbincangan dengan membawa tajuk “Peranan Muslimah Menghayati Bicara Allah“.

    Majlis ini juga dihadiri oleh Muslimat dari Kawasan Raub, Bentong dan Cameron. – HARAKAHDAILY 25/12/2019