Kursus Asas Kemahiran AMAL Perak cipta kelainan

    KAMPAR: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Perak berjaya menganjurkan Kursus Asas Kemahiran AMAL (KAKA) 2019 yang telah berlangsung di Kem Al-Falah, Kuala Dipang, di sini berakhir kelmarin dahulu.

    Advertisement

    KAKA 2019 bertujuan untuk memberi latihan kepada seluruh anggota AMAL Negeri Perak supaya setiap anggota dapat menjalankan tugas dengan cekap, sekali gus bakal menaikkan imej PAS di mata masyarakat.

    AMAL Negeri Perak menampilkan dua kelainan dalam KAKA kali ini iaitu penyertaan Exco Dewan Pemuda PAS Perak dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Kawasan, serta penambahan elemen latihan bantuan bencana.

    “Setiap anggota yang berkhidmat dalam operasi bencana seperti bencana banjir yang sedang berlaku kini perlu memiliki ilmu supaya (mereka) dapat memberi bantuan kepada mangsa dengan betul dan berkesan.

    “(Ia) sesuai dengan salah satu tugas utama Jabatan Amal Malaysia iaitu melaksanakan segala aspek kebajikan kepada seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik,” ujar Pengarah KAKA, Dahari Mad Daud.

    Menurut Kem Komandan, Syukri Daud, latihan yang dinamakan Dapur Rakyat itu turut memberi manfaat kepada 150 orang masyarakat setempat yang menerima agihan makanan daripada para pelatih.

    “Selain sebagai simbolik suasana ketika bencana, ia juga bertujuan menunjukkan keberadaan AMAL di sini dan keprihatinan AMAL terhadap masyarakat sekitar,” ulas beliau ketika ditemui.

    Syukri turut menyatakan rasa penghargaan terhadap kerjasama baik daripada para pelatih sepanjang program berjalan dan berharap peningkatan keahlian Jabatan Amal hasil penyertaan Exco Negeri dan Kawasan.

    Program tiga hari itu menawarkan dua sijil iaitu Sijil KAKA 1 bagi asas latihan dan Sijil KAKA 2 bagi latihan kejurulatihan dengan 97 pelatih dan 27 bakal jurulatih berjaya memperolehi sijil masing-masing.

    Turut hadir KETUA Pengarah AMAL Malaysia, Norazman Ishak dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Faisal Mohd Puait dan Pengarah AMAL Perak, Abdul Karim Abdul Rasit.

    Juga Ketua Ulamak PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria dan Yang Dipertua PAS Kampar, Ustaz Sufian Ahmad Rejab. – HARAKAHDAILY 25/12/2019