Di mana tidak berperlembagaannya tulisan Jawi?

BODOH sungguh sesiapa yang masih mahu berhujah kononnya pengenalan tulisan Jawi di SJK Cina dan Tamil adalah usaha Islamisasi yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hujah inilah yang dipegang oleh Dong Zong, Jiao Zong, SEKAT, MAJU, MCCBHS dan sebagainya, tetapi hujah inilah yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Hakim yang memutuskan pengenalan tulisan Jawi di SJK Cina dan Tamil adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan pula bukanlah Melayu, tetapi Amarjeet Singh Serjit Singh.

Kes ini adalah membabitkan Dominic Lau Hoe Chai, No. Kad Pengenalan: 670918-07-5413, iaitu Presiden GERAKAN, yang menuntut perintah bagi membatal dan menghalang pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi bukan hanya di SJK Cina dan Tamil sahaja, tetapi di SK juga.

Hujah yang dikemukakan oleh Dominic Lau ialah ia bercanggah dengan Perkara 12 (3), iaitu “Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri”.

Ini adalah terjemahan penghakiman Amarjeet Singh pada 28 November lalu:

“[14]     Aduan pemohon adalah bahawa dasar melaksanakan tulisan Jawi dalam matapelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah berkenaan akan melanggar Perkara 12 (3) yang berbunyi seperti berikut: Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

“[15]     Pemohon menggantungkan kesnya kepada fakta bahawa tulisan Jawi menggunakan ayat-ayat dari agama Islam dan bahawa kitab suci Islam, al-Quran, adalah dalam huruf Jawi, oleh itu pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah berkenaan akan menyebabkan pelajar-pelajar bukan Islam menerima ajaran dalam suatu agama selain agamanya sendiri.

“[16]     Setelah membaca dengan teliti Perkara 12 (3) dan 12 (4), adalah jelas kepada saya bahawa seseorang pelajar di mana-mana sekolah adalah dilindungi dari menerima apa-apa ajaran dalam sesuatu agama selain agamanya sendiri kecuali jika ia dibenarkan oleh ibu bapanya. Bagaimanapun, tiada apa-apa dalam Perkara 12 (3) yang menghalang pembelajaran mana-mana bahasa yang hurufnya secara kebetulan adalah juga huruf kitab suci mana-mana agama. Pembelajaran bahasa bukanlah satu isu di bawah Perkara 12 (3). Ia hanya akan menjadi satu isu jika dalam pengajaran bahasa itu seseorang pelajar terpaksa menerima ajaran dalam sesuatu agama selain agamanya sendiri. Tidak terdapat walau sekelumit bukti pun selain anggapan dan pandangan pemohon bahawa pengajaran tulisan Jawi akan menyebabkan seseorang pelajar terpaksa menerima ajaran dalam sesuatu agama selain agamanya sendiri.”

Lebih jauh lagi, menggunakan Perkara 152 (1) dan Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, Amarjeet Singh memutuskan bahawa:

“[13]     Oleh itu, huruf Jawi adalah juga huruf bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.”

Sebab itulah saya berani kata bodoh kepada sesiapa yang masih mahu berhujah kononnya pengenalan tulisan Jawi di SJK Cina dan Tamil adalah usaha Islamisasi yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Paling bodoh adalah Peguam atau mereka yang mempunyai latar belakang undang-undang yang masih menentang pengenalan tulisan Jawi atas alasan ini sedangkan mereka tahu bahawa hujah mereka telah ditolak oleh mahkamah.

Tolonglah hormat kepada undang-undang!

Advertisement

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 26/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.