‘Green Muhibbah Ride’ Batu gamit penduduk

BATU: PAS Kawasan Batu telah menjayakan konvoi bermotor ‘Green Muhibbah Ride‘ yang merupakan aktiviti berkala kali keempat dan sebagai penutup bagi tahun 2019 di sekitar Parlimen Batu, semalam.

Advertisement

“Program ini bukan sekadar untuk beramah mesra dengan penduduk Parlimen Batu, tetapi perkara yang lebih utama dalam setiap gerak kerja adalah bagi menzahirkan Islam di muka bumi ini,” kata Yang DiPertua PAS Batu, Ustaz Azhar Yahya.

Konvoi ini telah berkunjung di lima perhentian utama iaitu Taman Sentul Utama, UTC Sentul, Pasar Sentul, Taman Seri Murni dan Taman Beringin mengedar kalendar tahun 2020 PAS Kawasan Batu kepada penduduk setempat.

Ustaz Azhar yang juga Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan turut memberi pesanan kepada masyarakat setempat mengenai pentingnya keseimbangan dunia dan akhirat ummat hari ini dalam ucapan beliau di beberapa perhentian.

Turut hadir bersama ialah Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Batu, Shamsuddin Yaacob, Ustaz Abu Bakar Abd Rahman serta Setiausaha PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim.

Juga Ketua Pemuda PAS Batu, Ustaz Mohd Norhan Hamsi dan Ketua Muslimat PAS Batu, Salbiah Abd Wahab selain 50 ahli PAS antaranya kalangan As-Sabiqun sebelum program diakhiri jamuan tengahari. – HARAKAHDAILY 26/12/2019