Ikhlas pemangkin gerak kerja sukarelawan PAS

KUALA LUMPUR: Keberadaan di dalam jemaah, bukan sahaja dengan memberi tumpukan kepada agenda jemaah, tetapi juga kawalan agar tidak berpaling kepada perkara lain selain daripada mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. 

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata sedemikian ketika merasmikan program ‘Media Meet and Great 1.0’ yang berlangsung di Dewan Seminar Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, para sukarelawan PAS terutamanya petugas media yang bergerak secara belakang tabir mungkin tidak dikenali ramai, namun sumbangan yang dilakukan tanpa nama itu sebenarnya akan membantu apabila menghadap Allah kelak.

Pesan beliau agar seluruh ahli PAS di setiap peringkat agar meletakkan niat utama di dalam perjuangan ini kerana Allah semata-mata bagi mengelakkan tipu daya syaitan yang boleh memesongkan hati manusia.

“Apabila kita meletakkan Allah dalam segala hal, insya-Allah jiwa kita tidak akan terikat dengan manusia. Yakinilah, jika kamu berbuat baik, sebenarnya kamu sebenarnya sedang berbuat baik pada diri kamu sendiri, begitu juga sebaliknya.

“Jika kamu tolong (agama) Allah, Allah pasti akan menolong kamu. Ini merupakan satu tawaran dan jaminan daripada Allah untuk kita. Oleh itu, yang perlu kita kerjakan ialah menyempurnakan segala titah perintah Allah,” nasihat beliau.

Ustazah Nuridah mengakhiri ucapannya dengan menekankan kepentingan bergantung harap kepada Allah dalam setiap waktu, kerana tanpa Allah, manusia tiada apa-apa walau sebarang jawatan sekalipun. – HARAKAHDAILY 26/12/2019