Misi pendidikan, kebajikan ‘muallaf’ di Sarawak

    KUCHING: Yayasan Amal Malaysia dan Relawan Du’at (RINDU) telah menjalankan misi mendidik mualaf dan kebajikan di Kampung Biawak, Lundu dan Kampung Senah Rayang, Pedawan, di sini bermula 21 Disember dan berakhir semalam.

    Advertisement

    Misi 5 hari dengan kerjasama Syabab Care ini dirasmikan oleh Ustaz Zahari Abdullah yang juga pendakwah bebas dan segala perjalanan dakwah dirancang dan dilakukan secara berfokus untuk mendidik masyarakat muallaf di pedalaman.

    Melibatkan sasaran 200 penduduk terutama muallaf, misi yang mendapat sokongan pelbagai pihak ini telah mendekati mereka dengan penerapan asas ibadah di dalam Islam, seterusnya menziarah dan mengeratkan silaturahim sesama Muslim.

    Menurut Pengarah Misi, Mohd Khairul Azman Md Daud program ini telah mencapai hasrat untuk menyampaikan dakwah dan asas agama Islam dan mendidik masyarakat muallaf khususnya di pedalaman Sarawak.

    Sukarelawan dan penggerak utama RINDU, Mohammad Zainey Roslan menyatakan, misi dakwah seperti ini wajar dipergiatkan setiap masa kerana pemahaman dalam kalangan muallaf di negeri ini masih sangat memerlukan bimbingan.

    Seru beliau, perlunya usaha berterusan membimbing dan menyebar ilmu asas Islam agar kekuatan dalaman dapat dibenteng dengan kefahaman Islam yang utuh.

    Wakil Syabab Care, Mohd Huzaimi Ab Latif pula berkata, program seumpama ini akan diteruskan dan menjadi keutamaan di masa hadapan terutama kepada asnaf dan muallaf yang masih memerlukan bimbingan dan bantuan dalam segala aspek.

    Selain memberi bantuan kebajikan, program dan aktiviti lain yang telah dilakukan termasuklah kursus praktikal sembelihan ayam dan berkunjung ziarah ke rumah untuk memahami masalah kehidupan seharian mereka. – HARAKAHDAILY 26/12/2019