PAS kenang arwah Jamil Dzulkarnain

    KUALA KANGSAR: Terkenal sebagai seorang yang budiman serta prihatin dengan nasib masyarakat miskin dan memerlukan, Allahyarham Jamil Dzurkarnain akan terus dikenang oleh masyarakat Bandar DiRaja ini.

    Advertisement

    Beliau yang merupakan mantan calon PAS DUN Manong dalam Parlimen Kuala Kangsar pada PRU13 dan PRU14 juga memegang jawatan sebagai Bendahari PAS Kawasan Kuala Kangsar.

    Sikap Allahyarham yang suka membantu bukan sahaja ketika menjadi calon, malahan semenjak dari zaman kerja beliau lagi, membantu anak-anak buahnya terutama ketika mereka mengalami kesempitan hidup.

    “Arwah seorang yang baik hati dan banyak kali membantu tanpa mengira sesiapa, termasuk anak-anak murid saya ketika saya menjadi warden di sebuah sekolah, jika mereka sakit, arwah akan menghantar mereka ke hospital,” cerita Rahimah Musa.

    Beliau juga antara seorang pimpinan yang berjiwa rakyat dan dekat dengan semua golongan, anak-anak muda hinggalah ke anak PASTI yang mesra memanggilnya dengan panggilan ‘Atuk Jamil’.

    Ketika ditanya wartawan antara faktor kekuatan bagi arwah semasa hidupnya berkecimpung dalam politik, Allahyarham menegaskan betapa beliau amat yakin dengan perjuangan bersama PAS.

    Allahyarham Jamil Dzulkarnain, 63 tahun, menghembuskan nafas pada 7 September 2019, di Hospital Taiping akibat barah hati.

    Rahimah isteri arwah ditemuramah wartawan HarakahDaily selepas penyerahan wang pendahuluan petisyen sebanyak RM20,000 di kediaman beliau, Taman Jasa, di sini kelmarin dahulu.

    Hadir bersama dalam ziarah ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Naib Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Mustafa Azmi serta Setiausaha PAS Kuala Kangsar, Saiful Dawam dan Ketua Muslimat PAS Kuala Kangsar, Intan Norhani Bashir. – HARAKAHDAILY 26/12/2019