Tulisan Ayman Wong dan Abdul Muein

Khilaf yang perlu diharmonikan

SETELAH membaca tulisan Ayman Rashdan Wong dan Abdul Muein Abadi abadi berkait dengan isu Uyghur, saya tertarik untuk memberikan ulasan awal. Walaupun saya juga meneliti tulisan, ucapan dan perkongsian pihak lain, tetapi saya memilih untuk mengulas dua sarjana ini sahaja atas faktor kepemudaan mereka, sambutan tulisan mereka dan kritikan balas antara mereka.

Pertamanya saya ucap tahniah kepada dua anak muda ini atas ulasan yang mantap dan punya nilai akademik yang baik. Anak muda yang lain harus memiliki pemikiran skeptikal, analitikal dan kritikal seperti mereka terutama dalam membaca perkembangan geopolitik antarabangsa.

Keduanya, kedua penulis ini memiliki kecenderungan yang berbeza. Ayman cenderung kepada isu kedaulatan China, bahaya pemikiran Separatisme dan Ekstremisme serta membongkar propaganda media Barat dalam memperguna konflik di Xinjiang sebagai senjata perang dingin (cold war) atau perang halus (soft war). Sedang Muein pula fokus mengenai nasib umat Islam yang sering dipergunakan sama ada Barat mahupun Timur, membongkar kebobrokan China yang melanggar hak asasi manusia terhadap Uyghur di samping menyedarkan kita mengenai agenda geopolitik China yang semakin agresif menyaingi Barat hingga menggugat kedaulatan negara lain.

Ketiganya, saya fikir perbezaan ini bukanlah satu perseteruan sebaliknya sebuah percambahan minda yang baik buat umat Islam untuk melihat isu ini secara holistik dan komprehensif sebelum membuat kesimpulan dan tindakan. Ia boleh dianggap sebagai wacana brainstorming ke arah merencana pelan strategik bagi membela nasib umat Islam sedunia terutama di negara berkonflik. Khilaf adalah rahmat. Namun khilaf perlu diharmonikan agar terbentuk kesatuan pemikiran (wehdatul fikr) sebagai asas kepada kesatuan tindakan (wehdatul amal).

Beberapa pihak turut meminta partisipasi saya dalam perbincangan ini. Jujur saya katakan, isu ini amat sensitif untuk dibincangkan. Perlu kepada maklumat dan gambaran sepenuhnya tentang apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku dan apa yang mahu dilakukan semua pihak berkepentingan. Biarlah kefahaman ini benar-benar masak sebelum menambah kepeningan awam.

Saya sedang merangka sebuah kertas kerja bagi menawarkan solusi kepada isu ini. Bukan sekadar perkongsian bacaan politik, tetapi lebih kepada pelan tindakan yang perlu dilakukan oleh berbagai peringkat umat Islam. Setakat ini kerangka kertas dibahagikan kepada tiga iaitu:

1.     Memperhalusi fakta: apakah yang berlaku sebenarnya?
2.     Memperbetul mind-set: membaca isu dengan perspektif Islam.
3.     Mencari solusi: mencadangkan tindakan kepada umarak, ulamak dan orang awam.

InsyaAllah setelah siap, saya akan kongsikan melalui Telegram Channel (http://telegram.me/AlangIbnShukrimun) dalam bentuk PDF sedikit masa lagi. Sekiranya ada yang ingin mencurah idea dan pandangan bolehlah membantu saya dalam projek ini. Semoga ianya dinilai sebagai jihad di sisi Allah.

Sekali lagi tahniah kepada dua anak muda masa depan negara ini. Semoga terus istiqamah memberi pencerahan kepada dunia dengan ilmu dan kebolehan kalian. Saya dapat mengambil manfaat dari kalian.

ALANG IBN SHUKRIMUN
26 Disember 2019
28 Rabiul Akhir 1441 – HARAKAHDAILY 26/12/2019

Advertisement