Banjir Johor: PAS Bukit Gantang hulur sumbangan

BUKIT GANTANG: Kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh mangsa banjir di Johor baru-baru ini telah mendapat perhatian masyarakat dan dizahirkan menerusi sumbangan yang disalurkan.

Advertisement

PAS Kawasan Bukit Gantang antara yang tidak ketinggalan memainkan peranan dengan membuka pusat pengumpulan bagi tujuan tersebut.

Menurut Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman, semua pihak berganding bahu bagi mengumpulkan sumbangan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Beliau berharap dengan kerjasama daripada semua pihak yang prihatin dapat meringankan sedikit bebanan dialami oleh mangsa-mangsa banjir ini.

Beliau berkata demikian ketika memantau proses pembungkusan sumbangan di Bilik Operasi JPrU Sungai Petai, Changkat Jering, di sini kelmarin.

Sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan asas ini akan diserahkan kepada Khidmat Malaysia Negeri Perak sebelum dihantar kepada mangsa banjir.

Turut hadir Timbalan Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Zulkifle Ahmad dan Ketua Khidmat Malaysia Bukit Gantang, Hamdan Abu Seman. – HARAKAHDAILY 27/12/2019