Bantah kezaliman China terhadap Muslim Uyghur

    SUNGAI PETANI: Dataran Zero di sini dibanjiri ribuan pengunjung ekoran demonstrasi bantahan terhadap kezaliman Kerajaan China terhadap Muslim Uyghur yang semakin hari semakin menjadi-jadi.

    Advertisement

    Program anjuran PAS Kedah itu bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat, kira-kira jam 2.30 petang.

    Antara yang menyampaikan ucapan pada perhimpunan itu ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

    Hadirin juga diberi suntikan semangat oleh timbalan-timbalannya, Muhammad Sanusi Md Nor, Dr Ahmad Fakruddin Fakhrurazi, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Abd Hamid, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Ustazah Mekiah Shamsudin serta lain-lain pimpinan kawasan dan badan bukan kerajaan (NGO)

    Dalam kenyataan Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum ini, beliau menyelar sikap Menteri Agama yang mengatakan kezaliman Komunis China ke atas Muslim Uyghur adalah berita palsu malah berbangga kehadirannya di sana disambut dengan permaidani merah.

    “Kenyataan itu memperlihatkan kedangkalan pemimpin PAN itu sedangkan kezaliman terhadap umat Islam Uyghur telah berlaku sejak 70 tahun lalu iaitu pada tahun 1949 dan kini kemuncaknya membawa kepada pembunuhan,” ulas beliau dalam kenyataan itu.

    Oleh itu katanya, kesengsaraan yang ditanggung oleh umat Islam Uighur perlu dibela kerana ibarat kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

    “Umat Islam di mana jua adalah bersaudara, ibarat aur dan tebing, isi dan kuku, sakit di sana, sakit juga di sini,” ujarnya.

    Justeru itu, rakyat Kedah yang hidup dalam keadaan aman dan damai ini wajar menyuarakan bantahan secara terbuka tidak mengira atas nama agama, keturunan lebih-lebih lagi sebagai menghormati kemanusiaan sejagat. – HARAKAHDAILY 27/12/2019