Filem dan serangan idealogi

PENGARUH produk

(1)     Apa tugasan penerbit filem? Hari ini ramai yang tergila-gilakan budaya wayang, dan gilakan movie. Ada juga yang tergilakan kartun-kartun anime dan sebagainya.

Adakah filem atau movie ini sengaja diwujudkan hanya sekadar perasaan semula jadi (kepuasan) atau memang ada peranan untuk mempengaruhi masyarakat?

(2)     Sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini tentang tujuan produk dan jenama yang dihasilkan, antaranya nak menguatkan pengaruh sesebuah empayar.

Apabila kita sebut Nike, Adidas dan lain-lain, kita akan terbau itu adalah ‘branded’ dan berkualiti. Harganya pun makin hari makin sengal dan tidak masuk akal.

(3)     Produk atau jenama yang laris di sesebuah negara menggambarkan pengaruh pengeluarnya terhadap negara tersebut. Perkara ini perlu dikaji kerana ia boleh dijadikan sebagai bahan serangan pemikiran.

(4)     Contohnya di awal kemasukan kereta dari Jepun satu ketika dahulu di Malaysia, ada orang-orang kampung memperlekeh dengan mengatakan ‘tin Milo saja itu’.

Seolah-olah apabila dibuang catnya, rupa-rupanya kereta itu diperbuat daripada tin Milo. Ini merupakan salah satu gambaran pengaruh Eropah di Malaysia.

Menggambarkan Milo yang diprodukkan oleh Nestle, dan ke’koman’an kereta buatan Jepun. Namun setelah lama bersaing di alam perniagaan, akhirnya tidak kedengaran lagi kritikan terhadap buatan Jepun.

Pengaruh animasi

(1)     Apa yang saya lontarkan ini sebagai gambaran bagi persaingan produk dalam menjual pengaruh, bukan semata-mata barangan.

Begitu juga filem dan movie, para penerbit filem berperanan untuk menjual pengaruh ke negara-negara lain, melalui tayangan filem di seluruh dunia.

(2)     Sekadar contoh, antara yang terawal dalam ‘perdagangan filem’ ini ialah Disney. Memaparkan kisah antara kucing, tikus, anjing, tupai dan sebagainya.

Filem ini menggambarkan bagaimana si tikus mengenakan si kucing. Saling mengenakan antara satu sama lain. Seolah-olah kanak-kanak diajar untuk ‘pedajal’ orang.

(3)     Ada juga tayangan filem Aladin yang jelas-jelas merosakkan aqidah Islam. Sepatutnya minta kepada Allah, tapi diajar untuk minta kepada jin, dengan menggosok teko.

Ada kartun yang memaparkan watak ikan duyung, manusia berbadan kuda dan sebagainya. Seolah-olah menggambarkan teori Evolusi Darwin.

(4)     Antara kartun yang berkonsep syirik ialah Doraemon. Doraemon digambarkan sebagai makhluk yang memiliki semua keajaiban. Termasuk boleh tukar zaman.

Tak lepas juga kartun-kartun yang berunsur seksi sama ada dalam Doraemon, Sailor Moon dan banyak lagi. Mengotorkan minda kanak kanak dengan Hedonism.

Serangan idealogi dan pengaruh

(1)     Tidak ketinggalan juga movie Tamil yang menggambarkan situasi politik Kashmir, Pakistan dan India. Kalau penerbit itu orang India, dia akan menyebelahi politik India.

(2)     Begitu juga movie yang menggambarkan krisis politik antara Korea Utara dan Korea Selatan. Kalau penerbit itu orang Selatan, dia akan memburukkan Utara.

Contoh yang lebih khusus, filem Ip Man. Siri 1 Ip Man berhadapan dengan Jepun. Siri-siri berikutnya mula mengaitkan pergaduhan dengan Mat Saleh.

Seolah-olah sebagai signal kepada pertembungan antara China dan Amerika yang terjadi pada hari ini. Tak pelik kalau Amerika terbitkan filem-filem yang lebih kurang sama maksudnya.

(3)     Dulu ada filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’ di Indonesia, sarat dengan serangan halus Feminisme. Menceritakan bagaimana seorang perempuan yang terkongkong dalam sistem pondok.

(4)     Boleh lihat juga filem Rambo dan beberapa lagi yang ada kaitkan serangan terhadap orang-orang padang pasir yang berserban, sambil tutup muka.

Seolah-olah menggambarkan Amerika sebagai hero memerangi Islam yang dikatakan teroris. Sebagai signal kepada serangan Islamophobia.

(5)     Kalau dahulu hingga sekarang, antara yang hot juga filem filem yang berkaitan dengan Alien. Ia dilancarkan di saat Barat cuba menggambarkan kewujudan kuasa luar bumi.

Jadi, Amerika digambarkan sebagai hero untuk menyelamatkan bumi, demi menjaga keselamatan sedunia. Sedangkan hakikatnya merekalah pengganas sebenar.

Mencetuskan kegilaan

(1)     Apa yang saya tulis ini bukanlah bertujuan menggalakkan manusia supaya melayan movie sampai membuang masa. Akan tetapi nak menceritakan bahawa adakalanya movie itu bahaya.

Ia digunakan untuk melancarkan psywar, atau serangan idealogi. Mereka yang layan movie bimbang terkesan dengan corak-corak yang digambarkan dalam filem.

(2)     Cuba lihat kegilaan segelintir manusia terhadap kereta Retro atau Classic contohnya. Kalau memang sudah ada minat sejak sekian lama, tiada masalah.

Cumanya yang menjadi perbincangan apabila minat itu mula timbul setelah tertayangnya filem Fast And Furious yang diterbit bersiri-siri.

Siri-siri filem ini juga berubah-ubah. Daripada enjoy dengan kelajuan kereta, bertukar kepada misi menyelamat dan akhirnya bertembung antara manusia dan mesin (robot).

(3)     Filem-filem pertembungan mesin dan robot juga sudah banyak ditayangkan, seperti Robocop, Terminator dan sebagainya. Kemudian diolah pula pertembungannya.

Iaitu bertembung dengan teknologi baru yang dipanggil Ai seperti filem Spiderman yang terbaru, Age Of Ultron dan sebagainya. Menggambarkan projek masa depan dunia.

Barat cuba menggambarkan bahawa akan wujudnya pertembungan antara manusia dengan mesin (robot) selain daripada bertembung dengan alien.

Movies And Methods

(1)     Apa yang ingin saya lontarkan di sini bukanlah sebagai satu promosi terhadap filem-filem ini. Akan tetapi nak menggambarkan bagaimana pengaruh itu cuba disalurkan melalui filem.

(2)     Dalam isu persaingan Amerika dan China hari ini pastinya akan muncul filem-filem yang berbaur sedemikian. Antara yang terlaris dalam berbicara bab ini ialah, Bill Nichols.

Beliau menulis buku yang bertajuk Movies And Methods, antaranya mengatakan;

“The majority of films in all categories are the unconscious instruments of the ideology. Whether the film is ‘commercial’ or ambitious’, ‘modern’ or ‘traditional’, whether it belongs to the ‘old’ cinema or ‘young’ cinema, it is most likely to be re-hash of the same old ideology”.

Dengan bahasa mudah, industri perfileman  beroperasi bukanlah sekadar saja-saja atau kekosongan. Sebaliknya filem-filem itu dipastikan ‘berisi’.

(3)     Walaupun di sana ada yang melihat industri filem sebagai sebuah institusi hiburan semata-mata yang hanya memberikan apa yang kepuasan.

Hal ini perlu ditolak kerana Bill Nichols berteori bahawa “what the public wants means what the dominant ideology wants”.

‘Teori’ ni menjelaskan bahawa membuat andaian industri perfileman semata-mata bersifat hiburan, adalah satu andaian yang cetek dan tiada sandaran.

(4)     Rata-rata pengkaji tentang kaitan filem dan idealogi lebih tertumpu kepada filem-filem lama, di era perang dunia dan pertembungan Amerika VS Soviet.

Namun hari ini lebih jelas persembahan filemnya berkaitan dengan pengaruh terhadap sesebuah kuasa dan juga serangan idealogi. – HARAKAHDAILY 27/12/2019

Advertisement